suria

Kereta Exco KLFA tersadai tepi MRR2, mujur abang Foodpanda bagi servis 5 bintang, “Bukan sebab makanan tapi...”

Seorang penghantar makanan Foodpanda dipuji kerana sudi membantu dua rakan niaga yang mengalami kerosakan kereta di lebuh raya. Foto ihsan Syed Yazid Syed Omar/Zafnihadi Zakaria

KERETA rosak di tengah jalan sememangnya dugaan yang tidak disangka-sangka, tentu sekali kesabaran diuji sekiranya ia berlaku di lebuh raya yang sibuk.

Begitulah yang dialami oleh dua rakan niaga apabila kereta yang dinaiki mengalami kerosakab di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) di Kuala Lumpur pada waktu puncak.

“Mohon maaf kepada sesiapa atau kenderaan yang melalui MRR2 Taman Melati menghala ke arah Taman Melawati... mungkin mengalami sedikit kesesakan perjalanan akibat kenderaan kawan saya dan terpaksa berhenti di tepi jalan antara pukul 4.50 petang Rabu 31 Julai,” kata salah seorang rakan menerusi perkongsian di laman sosialnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Motor rosak tengah jalan tak sempat ambil pesanan roti canai… “Mujur ada abang ni walaupun tak kenal tapi macam adik-beradik”

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bagi hati' jadi 'makan hati'! Kena 'ayat' dengan pelanggan, abang Foodpanda dedah perbualan penuh, ramai terkejut pengakhirannya!

Pengguna Facebook berkenaan, Zafnihadi Zakaria turut mendedahkan mengenai seorang penghantar makanan Foodpanda yang sanggup berulang-alik menggunakan motosikalnya untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Kereta yang mengalami kerosakan tersadai di tepi MRR2.

Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu berkata, ketika kejadian dia dan rakan niaganya dalam perjalanan dari menghadiri mesyuarat di Ampang, kemudian menguruskan beberapa perkara lain dan perlu menghadiri satu lagi mesyuarat lain di Shah Alam pada sebelah malamnya.

“Ditakdirkan kereta kehabisan minyak, jadi kami berulang alik ke stesen minyak berdekatan untuk mengisi petrol dalam botol, dengan bantuan seorang call man dan seorang pemandu teksi, tapi enjin kereta masih tak dapat dihidupkan.

“Saya ada mencadangkan kepada rakan supaya menggunakan khidmat towing (tunda kereta), tetapi dia lebih selesa menggunakan cara lain terlebih dahulu, dengan mengisi minyak beberapa kali,” katanya kepada mStar.

Aiman hendak memulakan tugasnya ketika kejadian berlaku.

Akibat kehabisan minyak juga, Zafnihadi berkata, kereta tersebut mengalami kerosakan sehingga memberi kesan kepada starter dan bateri kenderaan.

“Kami kemudian mengambil keputusan untuk menahan pengguna kenderaan yang melalui lebuh raya itu bagi mendapatkan bantuan seterusnya.

“Kami nampak seorang rider (penunggang mosikal) Foodpanda dan menahannya untuk mendapatkan bantuan. Saya fikir kalau dia boleh menghantar makanan, mungkin dia boleh bantu kami untuk menghantar pomen (mekanik),” katanya.

Kereta tersadai di tepi lebuh raya dari petang hingga malam untuk dibaiki.

Syukur, penghantar makanan yang lebih dikenali sebagai Aiman itu memberhentikan motosikalnya dan sudi menghulukan bantuan ketika waktu menunjukkan kira-kira pukul 6 petang.

Menurut Zafnihadi, Aiman hendak memulakan tugas penghantaran pada waktu malam dan bantuannya diteruskan dengan membeli petrol.

“Tidak kurang empat kali Aiman berulang-alik membantu kami mengisi petrol, meninjau bateri kereta dan akhirnya memanggil pomen.

“Dari pukul 6 petang sehingga selepas pukul 7 malam, Aiman masih mahu membantu dan menunggu sehingga selesai. Tapi kami minta dia beredar dahulu memandangkan sudah ada pomen untuk membaiki kereta,” katanya.

Kami nampak seorang rider (penunggang mosikal) Foodpanda dan menahannya untuk mendapatkan bantuan. Saya fikir kalau dia boleh menghantar makanan, mungkin dia boleh bantu kami untuk menghantar pomen (mekanik)

ZAFNIHADI

Ramai yang prihatin dan sudi membantu, tetapi yang paling memberi kesan kepadanya dan rakan niaga, Syed Yazid Syed Omar adalah penghantar makanan itu.

“Bagi kami, Foodpanda bukan saja hantar makanan tapi boleh juga hantar petrol, bateri dan pomen.

“Walaupun bukan hantar makanan, tapi macam Aiman, dia ikhlas nak membantu kami,” ujar Zafnihadi.

Zafnihadi (kiri) dan Syed Yazid (tengah) bersama Aiman.

Sementara itu, Syed Yazid, 41, yang juga Exco Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) itu memberitahu bahawa keretanya siap dibaiki pada kira-kira pukul 9 malam.

“Buka semua yang lalu di lebuh raya berkesempatan untuk tolong sebab mungkin ada urusan masing-masing, tapi urusan kami dipermudahkan dengan bantuan beberapa individu termasuk Aiman.

“Saya tak sangka dia nak berhenti, sebab saya senyum je masa dia nampak saya dari jauh. Kepada Aiman, saya amat menghargai bantuan kamu, terima kasih. 

“Kalau ada aplikasi untuk kasi rating di atas bantuan Aiman, saya kasi paling maksimum... lima bintang!,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain