suria

Mengejutkan! 33 minggu dalam perut ibu koma, bayi membesar, selamat lahir walau ibu belum sedar “Doktor kata bayi kami ajaib”

Farah Hanis Fairol Haziri yang dilahirkan secara pembedahan akibat ibunya yang koma selepas pembedahan tumor pada Disember lalu.

SELAIN tidak mendapat kasih sayang dan belaian manja yang sepatutnya, bayi perempuan ini juga belum berpeluang merasai susu badan ibunya sejak dilahirkan lebih sebulan yang lalu.

Farah Hanis Fairol Haziri dilahirkan secara pembedahan kerana ibunya, Kamareeyah Arwe, 36, berada dalam keadaan koma akibat tumor dalam kepala sejak Disember 2018.

Lebih malang, bapa kepada bayi itu, Fairol Haziri Rahim, 44, terpaksa berhenti kerja demi memberi fokus terhadap anak dan isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

ARTIKEL BERKAITAN: “Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Fairol mengakui tidak tahu menahu mengenai penyakit yang dialami isterinya itu.

"Masa tu dia tengah hamil dua bulan. Saya tak tahu dia ada tumor, keluarga dia pun tak tahu.

Fairol (gambar kecil) mengakui reda atas apa yang berlaku dalam keluarganya.

"Cuma lebih kurang sebulan sebelum tu, dia alami pening-pening. Dia juga mengadu penglihatan jadi kabur.

"Mula-mula kami hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, lepas tu hantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah buang tumor dalam kepala.

"Kami bawa dia pulang ke rumah pada hari raya kedua. Sekarang saya memang tak boleh bekerja, hanya jaga anak. Bayi kami juga dijaga oleh sepupu saya buat sementara waktu," ujarnya sewaktu dihubungi pada Khamis.

Saya reda atas apa yang berlaku. Memang sedih tengok keadaan dia. Saya menangis waktu berdoa lepas solat. Harapan saya nak dia sedar semula.

FAIROL HAZIRI RAHIM

Bercerita mengenai kehidupannya, Fairol mengusahakan gerai roti canai dan menetap di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.

Selain sumbangan ahli keluarga dan sanak saudara, bapa kepada dua anak itu juga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berjumlah RM150 sebulan.

Ia ternyata tidak memadai memandangkan dia perlu membeli susu khas untuk isterinya yang berharga RM92 setin yang mana ia hanya bertahan untuk tiga hari sahaja.

Keadaan isteri Fairol yang koma sejak Disember tahun lalu.

Selain itu, dia juga memerlukan wang untuk perbelanjaaan lampin pakai buang, peralatan sedut kahak dan keperluan-keperluan perubatan yang lain.

Tambah Fairol, tiada apa yang diharapkan selain melihat isterinya kembali pulih dan menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

"Saya reda atas apa yang berlaku. Memang sedih tengok keadaan dia. Saya menangis waktu berdoa lepas solat. Harapan saya nak dia sedar semula.

"Anak saya tu walau dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan 33 minggu, tapi Alhamdulillah dia sihat seperti kanak-kanak normal lain.

Posting mengenai isteri Fairol yang ditularkan oleh sepupunya, Che Norhayati Mohamad menerusi Facebook Cempaka Merah II.

"Walaupun sepanjang kehamilan, isteri saya bergantung kepada susu sahaja, bayi kami membesar dengan sihat. Doktor pun kata bayi kami ajaib," ujarnya lagi.

Bagi mereka yang ingin menyampaikan sumbangan kepada Fairol Haziri sekeluarga, mereka boleh menghubungi pemuda itu di talian 014-5341466.

Dalam pada itu, posting mengenai kisah keluarga itu yang dimuat naik menerusi laman Facebook sepupu Fairol, Che Norhayati Mohamad, 53, pada Rabu ternyata menarik perhatain ramai.

Selain dikongsi semula oleh ratusan pelayar Facebook, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa simpati mereka terhadap bayi malang itu dan ibunya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tumor, Farah Hanis, koma, ajaib

Artikel Lain