Nama dah ada, hubungan bapa dengan bayi amat rapat... tiba-tiba tiada tendangan “Hud jadi tiket bonus kami ke syurga” - Viral | mStar

Nama dah ada, hubungan bapa dengan bayi amat rapat... tiba-tiba tiada tendangan “Hud jadi tiket bonus kami ke syurga”

Jenazah Muhammad Hud Iskandar dipangku bapanya, Bulkiah.

BAHTERA perkahwinan setiap pasangan pastinya tidak akan berseri tanpa tangisan dan gelak tawa anak kecil, namun siapa kita untuk menidakkan takdir.

"Mummy dan babah mungkin tak dapat jaga Hud tapi percaya Hud akan jadi tiket bonus kami untuk ke syurga kelak," demikian luah seorang ibu muda yang kehilangan bayinya lebih kurang seminggu sebelum tarikh dia dijadualkan bersalin.

Siapa sangka, lebih lapan bulan bayi dikandung, namun percaturan Tuhan tiada siapa dapat menghalang.

Berkongsi pengalaman sepanjang mengandungkan bayi sulungnya, Nur Fatehah Shahidan, 25, mengakui pada mulanya semuanya berjalan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: Malam pertama tanpa anak, wife terjaga dan tercari-cari sesuatu... “Dewi, I risau tertindih dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkilan bayi kembar tiga ‘pergi’ secara tiba-tiba, “Dia baik-baik sahaja sehari sebelum meninggal”

"Selepas sebulan berkahwin, saya disahkan mengandung. Memang kami teruja. Memandangkan saya anak tunggal sudah tentu berita ini amat menggembirakan ibu bapa saya," katanya kepada mStar.

Nur Fatehah (kanan) bersama ibunya, Salamah Hassan, bapa, Shahidan Sabu dan suaminya Bulkiah (kiri) pada Hari Raya Aidilfitri awal bulan ini.

Katanya, selepas tiga bulan mengandung, dia dan suami, Bulkiah Mahmut, 30, bersetuju memilih nama Muhammad Hud Iskandar Bulkiah untuk bakal cahaya mata sulung mereka.

"Saya sangat bersyukur sepanjang mengandungkan anak ini, langsung tidak ada sebarang masalah alahan, loya atau sebagainya yang biasa dialami ibu mengandung yang lain.

Namun saya tahu, ibu dan ayah juga sedih kerana mereka mengharapkan cucu sulungnya ini. Hakikatnya apa yang terjadi ini sudah tertulis.

NUR FATEHAH SHAHIDAN

"Bayi juga sangat behave dan aktif. Pada Ramadan lalu, saya dapat juga berpuasa walaupun tidak penuh," kongsinya sambil menambah tarikh jangkaan bersalin adalah pada 3 Julai ini.

Menurut Nur Fatehah lagi, sebelum minggu ke-40 mengandung, keadaan dia sihat, malahan bayinya sentiasa menendang.

"Saya memang selalu kira jumlah tendangannya setiap hari dari 9 pagi hingga 9 malam sekurang-kurang lima ke enam kali.

Bulkiah mengendong jenazah anaknya sebelum dikebumikan Sabtu lalu.

"Namun pada Khamis lalu, bayi sedikit tidak aktif, ketika itu lebih kurang pukul 1.30 petang dan saya anggap ada masa lagi hingga malam untuk pantau kekerapan tendangan bayi. 

"Bagaimanapun, hari itu badan saya agak sedikit penat menyebabkan saya tertidur dan hanya terjaga pada pukul 1.30 pagi, Jumaat. Ketika itu, saya rasa perut keras dan terus kejutkan suami untuk ke hospital. Dalam hati mungkin sudah tiba masa untuk bersalin walaupun tempoh mengandung 38 minggu," katanya.

Katanya, sebaik tiba dihospital, tiga jururawat  memeriksa kandungan tanpa beritahu apa-apa keputusan sebelum memanggil doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

"Ketika itu hati saya mula berdebar," akuinya.

Lebih membimbangkan Nur Fatehah apabila tiga doktor melakukan pemeriksaan dan akhirnya doktor ketiga mendedahkan situasi sebenar.

"Kata doktor, denyutan nadi anak saya sudah tak ada. Saya terus hantar mesej pada suami yang menunggu di luar bilik rawatan. Untuk memuaskan hati kami, doktor buat lagi pemeriksaan terakhir dan mereka mengesahkan bayi kami sudah meninggal dunia," ujar ibu muda itu yang terus menangis apabila dimaklumkan mengenai berita sedih itu.

Nur Fatehah berkahwin dengan kawan baiknya, Bulkiah tahun lalu.

"Saya tidak dapat berkata apa-apa, hanya menangis sebab memang tak sangka semua ini terjadi.

"Suami saya kelihatan kecewa dan sedih. Sepanjang mengandung, dia dan bayi amat rapat. Setiap kali balik kerja, dia akan memegang perut dan berbual-bual dengan Hud. Jumaat malam Sabtu, saya selamat melahirkan bayi itu. Alangkah sedihnya apabila dia sudah tidak bernyawa lagi.

"Namun saya tahu, ibu dan ayah juga sedih kerana mereka mengharapkan cucu sulungnya ini. Hakikatnya apa yang terjadi ini sudah tertulis," katanya.

Menurut Nur Fatehah, pada mulanya dia seakan-akan tidak percaya dan terlalu sedih.

Nur Fatehah berkongsi pengalamannya di Twitter.

"Ramai yang datang melawat dan mereka turut bersedih. Syukur kerana dari situ saya dapat semangat baharu untuk menjadi lebih kuat.

"Saya tidak mahu orang bersedih disebabkan keadaan saya. Ini bukan rezeki saya dan percaya rezeki lebih baik akan hadir selepas ini," katanya.

Nur Fatehah  turut berkongsi pengalaman ini di laman Twitter dan mendapat perkongsian lebih 15,000 ulang kicau.

Kisah sedihnya itu turut mendapat simpati dan sokongan daripada netizen lain.

bayi , meninggal , bersalin

Artikel Lain