“Ini bukan 'prank' atau 'duit raya' yang sengaja diada-adakan” - Rayani Air kembali buat kejutan menjelang Ramadan - Viral | mStar

“Ini bukan 'prank' atau 'duit raya' yang sengaja diada-adakan” - Rayani Air kembali buat kejutan menjelang Ramadan

Rayani Air yang menggelarkan syarikatnya itu sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia memulakan operasi pada Disember 2015.

MENJELANG Ramadan kurang dua minggu lagi, bekas kakitangan Rayani Air kembali dikejutkan dengan berita daripada syarikat penerbangan itu yang menghentikan operasinya tiga tahun lalu.

Pengumuman yang dibuat di halaman Facebook Rayani Air pada Selasa adalah mengenai bayaran gaji tertunggak yang akan dilakukan.

"Saya sebagai pemilik Rayani Air ingin memohon maaf kepada semua bekas kakitangan Rayani Air atas kekhilafan yang telah berlaku. Ramadan bakal tiba.

"Di kesempatan ini, saya meminta semua bekas kakitangan Rayani Air yang belum mengemukakan maklumat seperti nama penuh, nombor pekerja, nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank bagi membolehkan syarikat membuat bayaran gaji tertunggak sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri 2019," menurut pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dalam satu kenyataan di halaman Facebook tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air Gantung Operasi Serta-Merta

ARTIKEL BERKAITAN: DCA Batalkan Sijil Pengendali Udara Rayani Air

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menyepi, tiba-tiba Rayani Air buat kejutan ‘raya’

Bercakap kepada mStar, Ravi memberitahu, bayaran tersebut adalah susulan kepada bayaran tunggakan gaji yang dibuat kepada lebih 200 bekas kakitangannya pada Jun 2018.

Tahun lalu, katanya, bayaran gaji dibuat kepada semua kru kabin termasuk kakitangan bergaji rendah yang mengemukakan maklumat untuk proses pembayaran itu.

"Kali ini bayaran tunggakan gaji dibuat kepada yang bergaji lebih tinggi seperti kumpulan pengurusan, juruterbang, pembantu juruterbang serta pekerja pengendalian darat dan kakitangan sokongan.

"Kita bayar sebulan gaji penuh Mac 2016 dan sehingga 10 April 2016 termasuk elaun bagi tempoh itu kerana Rayani Air menghentikan operasi pada 8 April 2016," katanya sambil menambah butiran yang diperlukan itu perlu dihantar menerusi emel yang tertera dalam pengumuman di Facebook itu, secepat mungkin.

Ravi Alagendrran

Ravi menegaskan bahawa pengumuman mengenai bayaran tunggakan gaji itu adalah serius dan bukannya gurauan menjelang Ramadan dan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Macam tahun lepas saya betul-betul dah bayar tunggakan gaji kepada sebahagian kakitangan. Secara kebetulan, kali ini dibuat hampir dengan puasa dan selepas itu Hari Raya.

"Ini bukan 'prank', bukan juga 'duit raya' yang sengaja diada-adakan. Tapi ini adalah tunggakan gaji yang patut dibayar kepada mereka. Selama ini saya perlukan masa untuk mengumpul dana bagi membuat bayaran ini secara berperingkat," katanya.

Tahun lalu, Rayani Air membuat bayaran tunggakan gaji kepada lebih 200 bekas kakitangannya beberapa hari sebelum 1 Syawal.

"Ini bukan 'prank', bukan juga 'duit raya' yang sengaja diada-adakan. Tapi ini adalah tunggakan gaji yang patut dibayar kepada mereka. Selama ini saya perlukan masa untuk mengumpul dana bagi membuat bayaran ini secara berperingkat.

RAVI ALAGENDRRAN

Menurut beliau, proses bayaran itu memperuntukkan wang berjumlah RM1 juta melibatkan kira-kira 123 bekas kakitangan termasuk enam juruterbang dan 10 pembantu juruterbang.

"Saya berharap proses pembayaran ini berjalan lancar. Ia merupakan antara langkah untuk saya menyambung impian dalam industri penerbangan pada masa akan datang," katanya sambil menambah bakal melunaskan baki tunggakan kepada penumpang yang masih belum menerima bayaran, seawal-awalnyan pertengahan Jun depan.

Sementara itu, salah seorang bekas juruterbang Rayani Air memberitahu telah mengemukakan butirannya seperti yang dikehendaki menerusi emel pada Selasa.

Dia yang enggan dikenali berharap Ravi menunaikan janjinya untuk membuat bayaran gaji dan elaun yang tertunggak sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Untuk saya, Rayani Air masih belum melunaskan tunggakan gaji Mac sehingga 10 April 2016 berserta elaun Februari, Mac dan April 2016 berjumlah kira-kira RM75,000.

"Jika Ravi boleh selesaikan jumlah tu (tunggakan), saya tarik balik kes di mahkamah," katanya yang memfailkan tuntutan di Mahkamah Perusahaan pada Januari 2018.

Pengumuman mengenai bayaran tunggakan gaji bekas kakitangan Rayani Air.

Dia yang berpengalaman sebagai juruterbang selama 25 tahun itu berkata, dia diisytiharkan muflis disebabkan masalah tunggakan gaji sejak tiga tahun lalu.

"Saya kerugian banyak. Saya 'hilang' dua kereta. Saya muflis sebab masalah ni. Kalau dapat semua tunggakan gaji dan elaun tu, saya bersyukur," katanya yang kini bertugas sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan kargo.

Rayani Air yang menggelarkannya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia memulakan operasi pada Disember 2015.

Pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman mengejut dengan menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta, antara faktor disebabkan oleh tindakan mogok sekumpulan juruterbangnya.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika itu (kini dinaik taraf sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau CAAM) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhadap pentadbiran dan audit syarikat, selain didapati melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan lemah.

Artikel Lain