Dimalukan PU Abu, murid menggigil sampai fobia nak ke sekolah, ibu kata “bukan nak buka aib tapi...” - Viral | mStar

Dimalukan PU Abu, murid menggigil sampai fobia nak ke sekolah, ibu kata “bukan nak buka aib tapi...”

(kiri) PU Abu dan Akmal Hareez (kanan).

SELEPAS kecoh isu perceraian Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan Muhamad Mokhtar Rozaidi, timbul pula cerita kurang enak mengaitkan ustaz selebriti itu semasa mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di Bandar Baru Selayang, Selangor.

Seorang ibu kepada empat orang anak, Zahara Mohd Yusof tampil berkongsi kisah menimpa anak lelakinya, Akmal Hareez Kamal Affendi yang mendakwa pernah dimalukan ustaz tersebut semasa di dalam kelas.

"Alkisah terjadi pada tahun 2016, ketika anak aku darjah 3. Dia selalu menangis dan mengadu pada aku kerana kerap dibuli oleh ustaz ini.

"Pada mulanya aku malas nak ambil peduli sangat aduan anak aku sebab aku fikir anak aku ni manja sangat. Tapi bila sampai satu tahap dia dah tak nak pergi sekolah, aku pun mulalah marah," katanya dalam satu posting di Facebooknya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Perampas di sebalik niqab”, isteri PU Abu ‘diserang’, wujud gerakan boikot produk, ceramah

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz selebriti cerai isteri hamil tujuh bulan demi janda anak satu

Zahara mendakwa, PU Abu membuka baju Melayu anaknya yang berbadan montel sehingga menampakkan bahagian badan yang tidak sepatutnya.

"Oh ya... anak aku ni jenis bambam orangnya. Ustaz ni suruh anak aku ke depan kelas dan dia bukakan baju Melayu anak aku sampai nampak t***k dia.

"Lepas tu dia boleh perah t***k anak aku depan satu kelas sambil suruh satu kelas gelakkan dan standby baling botol air pada anak aku.

"Menggigil ketakutan anak aku waktu tu. Yelah anak aku tu walaupun baru darjah tiga tapi badan dia agak besar," katanya.

Akmal Hareez bersama rakan-rakan di sekolah.

Keadaan itu menyebabkan Zahara bersama suami dan ibunya pergi ke sekolah tersebut dan bertemu dengan PU Abu.

"Aku, suami dan mak aku pun pergilah ke sekolah. Sebelum tu minta izin dengan ketua guru di sekolah agama tu sekali dan dia (ketua guru) tu pun terkejut dengan aduan anak aku.

"Bila ustaz ni dipanggil ke bilik guru, mak aku pun soallah kenapa buat macam tu. Oh ya... mak aku ni bekas penolong kanan dan bekas cikgu disiplin. So dia memang tahu semuanya etika seorang guru," katanya.

Namun wanita berusia 42 tahun itu terkejut apabila PU Abu berkata dia sekadar mahu bergurau.

"Ustaz tu selamba je cakap dia nak bergurau. Maka makin marahlah ketua guru tu bila dengar jawapan selamba dia.

"Langsung tak ada rasa bersalah aibkan anak aku sampai tahap macam tu. Endingnya dia minta maaf, itu pun selepas diminta oleh ketua guru tu," katanya.

Meskipun PU Abu sudah meminta maaf, Zahara berkata perbuatannya itu menyebabkan anaknya diejek sehingga terpaksa ditukarkan ke sekolah agama lain.

"Anak saya cakap ustaz ini selalu mencarut suruh murid diam dalam kelas. Adab dia memang ke laut. Sepatutnya dia sebagai ustaz kena tunjuk kelakuan dan akhlak terpuji kepada anak muridnya.

ZAHARA MOHD YUSOF

Ibu mangsa buli

"Aku pun tak faham kenapa perlu dia aibkan anak aku sampai macam tu sekali padahal dia seorang ustaz.

"Tapi kini bila baca pasal ustaz ni, aku sedar yang dia pun hanya hamba Allah yang biasa. Bukannya maksum. Cuma aku ralat dia masih tak berubah," katanya.

Sementara itu, sumber terdekat Sekolah Agama Rakyat Al-Furqan, Bandar Baru Selayang, Selangor ketika dihubungi mStar mengesahkan insiden itu.

"Kes itu berlaku pada 2016... sudah agak lama. Jadi kami anggap kes ini sudah selesai selepas pertemuan empat mata antara kedua-dua pihak.

"Mungkin kes ini timbul semula selepas kecoh isu perceraian PU Abu. Kami pun tak hebohkan kes ini dah selesai sebab tak nak mengaibkan mana-mana pihak," katanya.

Zahara (kanan) bersama anaknya.

Sumber itu berkata pihak sekolah telah menasihati PU Abu selepas menerima aduan daripada ibu bapa kanak-kanak itu.

"Kita bagi nasihat dan dia (PU Abu) berhenti hujung tahun 2016 sebab dia sibuk dengan program PU. Kami anggap kes ini sudah selesai," katanya yang mengesahkan murid tersebut sudah bertukar ke sekolah agama lain.

Dalam pada itu, Zahara ketika dihubungi mStar mengakui amat terkejut dan tidak menyangka perkongsiannya di Facebook mengenai anak sulungnya itu akan menjadi tular.

"Saya sendiri tak jangka jadi macam ni. Ramai tuduh saya cuba buka aib ustaz tapi sebenarnya niat saya sekadar ingin berkongsi apa yang anak saya lalui.

"Mungkin saya post pasal dia pada masa dan situasi yang salah. Benda dah viral, jadi saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Namun Zahara berkata dia sudah memaafkan PU Abu di atas perbuatannya itu.

"Saya maafkan dia sebab saya sendiri pun tak sempurna. Cuma saya ceritakan sebab saya takut ada anak-anak lain yang terkena perkara sama tapi tak cerita pada ibu bapa masing-masing.

"Anak saya cakap ustaz ini selalu mencarut suruh murid diam dalam kelas. Adab dia memang ke laut. Sepatutnya dia sebagai ustaz kena tunjuk kelakuan dan akhlak terpuji kepada anak muridnya," dakwanya.

PU Abu , cerai , sekolah , Abu Sufyan , SAR Al-Furqan

Artikel Lain