Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa - Viral | mStar

Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa

Hasmi dan suaminya, Mohd Amer bergambar di lokasi kejadian kebakaran. Foto Facebook Asmieyz Zahariey

SAYU hati bakal pengantin ini yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan sebagai pasangan raja sehari sebaliknya bertukar duka apabila rumah keluarganya musnah dalam kebakaran, hanya dua hari sebelum majlis perkahwinan itu.

Segala persiapan majlis perkahwinan bertukar menjadi abu akibat kebakaran pada awal pagi Khamis lalu, dan apa yang lebih menyedihkan ia berlaku kurang sejam selepas semua hantaran buat pengantin lelaki siap digubah.

"Tujuh dulang yang baru siap gubah, tujuh dulang tu jugalah yang hangus. Kalau ikutkan hati nak batal saja semua sebab dah tak ada mood, dengan mata bengkak hari-hari duk menangis.

"Tapi Allah tolong hadirkan orang-orang yang sentiasa mendoakan kekuatan kami. Rakan-rakan yang dari jauh sanggup datang ke Kelantan sebab nak meraikan kami, walaupun dah diberitahu tiada majlis persandingan. Masa ni lagi mencurah-curah air mata keluar," kata pengantin perempuan menerusi perkongsiannya di Facebook, malam Isnin sehingga tular.

Pasukan bomba selepas memadam kebakaran di rumah keluarga pengantin perempuan.

Bercakap kepada mStar Online, pengantin perempuan, Hasmi Marina Mohd Zahari berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.30 pagi Khamis lalu di rumah keluarganya di Kota Bharu, dua hari sebelum majlis persandingan pada Sabtu.

Ketika kejadian, wanita berusia 26 tahun ini memberitahu dia berada di tingkat bawah rumah dua tingkat itu dan kebakaran berlaku secara tiba-tiba dengan begitu pantas.

"Masa tu baru sejam kami selesai gubah hantaran untuk pengantin lelaki. Saya dan saudara-mara lain sambung menyiapkan barang-barang cenderahati buat tetamu majlis perkahwinan itu nanti.

"Mula-mula kami terbau asap dan lepas tu ada yang jerit beritahu ada kebakaran di tingkat atas. Saya dan ahli keluarga lain terus naik tingkat atas dan api marak begitu cepat sebab bahagian rumah di tingkat dua diperbuat daripada kayu," katanya ketika dihubungi.

Sebahagian hantaran buat pengantin lelaki yang musnah dijilat api.

Dalam keadaan huru-hara dan panik itu, Hasmi yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik itu hanya memikirkan keselamatan ahli keluarganya yang berada di tingkat atas.

"Masa tu saya dah tak fikir pasal barang-barang kahwin, dengan asap tebal saya sempat tarik keluar sepupu berumur sembilan dan empat tahun yang tidur di salah satu bilik tidur.

"Atuk pula terperangkap di beranda, dia takut nak turun jadi saya cepat tarik atuk turun tangga. Kalau lambat sikit, atuk mungkin disambar api," katanya dengan nada sebak.

Gambar bersama keluarga selepas majlis akad nikah.

Hasmi berkata, dia bersyukur semua ahli keluarga berjaya diselamatkan, tetapi ibunya dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung kerana terkejut berdepan situasi cemas susulan kejadian itu.

"Alhamdulillah, ibu dah stabil. Dia juga dibenarkan keluar hospital untuk menyaksikan majlis akad nikah pada Jumaat," katanya yang lega akhirnya hubungan dengan  Mohd Amer Shafiq Shahiri, 26, selama dua tahun itu kini bergelar suaminya.

Pengantin baharu ini mendedahkan, pelamin yang sepatutnya dipasang pada hari kejadian di tingkat dua, dengan konsep serba putih dipenuhi dengan hiasan bunga-bungaan pilihan sendiri, tidak kesampaian.

Hasmi menyifatkan kejadian kebakaran adalah ujian daripada Allah SWT.

Dia yang bekerja sebagai juru xray menyifatkan apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT dan apa yang lebih penting adalah keselamatan insan tersayang.

Malah dia bersyukur kerana persiapan saat akhir seperti baju dan tudung untuk akad nikah, termasuk cincin bagi acara membatalkan air sembahyang disediakan oleh keluarga mertua.

"Alhamdulillah, keluarga pihak pengantin lelaki banyak membantu. Mereka terima kami sekeluarga seadanya selepas apa yang berlaku dengan majlis kosong tanpa hantaran.

"Walaupun sedih di atas apa yang berlaku, tapi syukur saya telah selamat bergelar isteri orang. Biarlah tak ada majlis perkahwinan, tak ada pelamin tapi yang penting keselamatan orang-orang tersayang. Itu yang paling penting," katanya sambil menambah punca kebakaran masih disiasat.

Bergambar di tangga rumah sebagai tanda kenangan.

Mengenai gambar bersama suami dalam persalinan baju pengantin berlatarkan lokasi rumah yang musnah dalam kebakaran sehingga menjadi tular, Hasmi berkata, ia berlaku secara spontan semasa keluarganya bergotong-royong mengemas kawasan kejadian.

"Selepas akad nikah, kami bergotong-royong kemas sebahagian ruang di bawah rumah yang tidak terbakar kerana diperbuat daripada batu, lalu saya terjumpa sesuatu yang tidak disangka di dalam almari, memang terkejut sebab ia baju akad nikad yang sepatutnya saya pakai.

"Saya tak fikir apa dah masa kejadian, ingatkan hangus semua. Saya pakai pun sekejap hanya lima minit di atas rumah yang hanya tinggal tangga, bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Lepas tu kami tukar baju dan sambung kemas semula," katanya.

pengantin , hantaran