Julie Boxsell dan Tara Grout berenang mengelilingi Pulau Redang pada Selasa. -Gambar Perhentian Channel Swim
DUA perenang wanita dipercayai menjadi dua individu pertama dalam sejarah berjaya berenang tanpa bantuan dan tanpa henti mengelilingi Pulau Redang, Terengganu pada Selasa lalu.Julie Boxsell, 55, dan Tara Grout, 54, dari Australia itu bagaimanapun masih menunggu pengesahan daripada Persekutuan Perenang Maraton (Marathon Swimmers Federation - MSF) berhubung rekod berkenaan. Menerusi acara Ramble Round Redang 2026 (RRR2026), kedua-duanya memulakan renangan dari pantai di hadapan Laguna Redang Island Resort pada pukul 8.15 pagi, sebelum kembali ke lokasi sama pada pukul 4.44 petang.Keseluruhannya, mereka berenang sejauh kira-kira 23 kilometer mengelilingi pulau berkenaan dalam tempoh lapan jam 28 minit 50 saat.Renangan itu turut diiringi kru Perhentian Channel Swim menggunakan bot pengiring dan kayak.Tara Grout (enam dari kiri) dan Julie Boxsell (tujuh dari kiri) bersama pasukan sokongan selepas menamatkan renangan mengelilingi Pulau Redang. - Gambar Perhentian Channel SwimKeadaan laut secara keseluruhan dilaporkan tenang dengan arus perlahan, selain cuaca mendung dan hujan sekali-sekala sepanjang perjalanan.Sebelum ini, renangan mengelilingi Pulau Redang pernah dilakukan beberapa kumpulan perenang termasuk sekurang-kurangnya seorang perenang solo.Bagaimanapun, RRR2026 merupakan percubaan pertama yang dilaksanakan secara rasmi dengan mematuhi peraturan MSF.Antara syarat ditetapkan ialah perenang perlu kekal berada di dalam air sepanjang tempoh renangan dan tidak dibenarkan sengaja menyentuh bot pengiring, perenang lain atau sebarang objek terapung.Perenang juga hanya dibenarkan menggunakan kelengkapan standard seperti gogal, penutup kepala renang dan pakaian renang biasa.Peralatan yang boleh meningkatkan kelajuan atau memberikan daya apungan seperti kaki sirip, pakaian renang teknologi tinggi (tech suit) dan pelampung tarik (tow float) tidak dibenarkan.Dokumentasi RRR2026 akan dihantar kepada MSF untuk tujuan pengesahan, manakala keputusan dan rekod renang maraton diselenggarakan melalui Long Swims Database.Mengulas mengenai pengalaman itu, Boxsell berkata dia gembira dapat berenang di Pulau Redang kerana kejernihan airnya.Menurutnya, mereka berpeluang melihat pelbagai hidupan laut termasuk ikan kembung, ikan badut, bumphead parrotfish dan ikan selar kuning."Kami juga terjumpa beberapa ubur-ubur surai singa. Mujurlah kami tidak tercedera dan sekadar menjerit, crikey!," katanya.Boxsell yang bekerja sebagai jururawat berkata demikian selepas menamatkan renangan tersebut.Sementara itu, Grout yang bekerja sebagai pramugari bersyukur kerana keadaan cuaca membantu kelancaran perjalanan mereka.Katanya, pasukan berdepan perjalanan yang mencabar untuk sampai ke Pulau Redang bagi memulakan renangan."Namun sebaik tiba di pulau, cuaca menjadi tenang dan kekal mendung sepanjang kami berenang. Kami juga dapat menyejukkan diri dengan air sejuk dari bot," katanya.Menurut kedua-dua perenang, antara detik paling menarik ialah apabila sebuah pesawat terbang rendah di atas mereka ketika hendak mendarat di Lapangan Terbang Redang.Sepanjang renangan itu, mereka turut dibantu oleh Ridzwan Rahim selaku kru, Mohd Hafizuddin Amlin (keselamatan dan kayaker), Mohd Faiz Mat Isa (pemerhati) dan Tomas Holub (medik).Selain itu, Katie Binstock dan Joseph Walshe (feeder), selain kru bot diketuai Kapten Helmi bersama pembantu Adam dan Azim.