BEKAS tentera akan dilantik sebagai warden sepenuh masa di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara mulai 1 Januari 2027 dalam usaha mengurangkan kes buli dan bebanan tugas guru.Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti hasil kajian keberkesanan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau. Menurut Asyraf, kajian itu diketuai Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, membabitkan sembilan dapatan utama dalam laporan 191 muka surat.Berdasarkan dapatan utama kajian itu, Asyraf berkata kehadiran warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama, selain mendapat penerimaan positif pelajar, ibu bapa dan pentadbir."Kehadiran warden yang kerap dan sistematik turut meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme. Hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah masalah buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar."Justeru dengan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera pencen pada usia yang masih produktif seperti 40-an, ia membuka peluang kerjaya kepada mereka dan boleh membantu mendisiplinkan pelajar-pelajar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Berdasarkan laporan positif kajian ini, sejak Julai lalu, 10 MRSM sudah melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera."Alhamdulillah hasilnya setakat ini amat positif dengan penurunan kes-kes disiplin secara drastik di semua MRSM yang terlibat," ujarnya lagi.