UMNO bakal melancarkan kutipan dana bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan ke atasnya sebagai syarat menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan tersebut akan dilaksanakan secara telus dan teratur dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang. Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela.Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau bersama seluruh pimpinan dan ahli Umno merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan baginda memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib."Umno menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda.ARTIKEL BERKAITAN: Najib dapat tahanan rumah, Agong perkenan pengampunan bersyarat"Umno menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah."Perkembangan ini amat bermakna buat beliau dan keluarga serta seluruh keluarga Umno yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.Bekas perdana menteri ke-6 itu diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.Pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta yang keputusannya dibuat dalam mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan pada Jumaat.Mesyuarat itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.