TINDAKAN seorang remaja lelaki berusia 14 tahun memandu sebuah kereta mengundang padah apabila ia berakhir dengan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di dua lokasi berasingan di Perai, Pulau Pinang.Insiden cemas itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.50 petang pada Selasa di kawasan sekitar Taman Chai Leng. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati remaja berkenaan memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.Menurutnya, remaja itu kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan secara melawan arus di Lebuh Kurau 5."Remaja berkenaan kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul," katanya dalam kenyataan.Kemalangan tersebut menyebabkan ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana pihak.Nik Aminuddin memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.47 malam pada hari sama.Menurutnya, polis turut mengesan satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian berkenaan."Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya," katanya.Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.