KESIHATAN minda sememangnya mempengaruhi emosi, pemikiran dan kehidupan seharian dengan tekanan berpanjangan boleh menjejaskan hubungan, pekerjaan serta pembelajaran. Perubahan emosi, sukar tidur, hilang minat dan suka mengasingkan diri antara merupakan tanda yang perlu diberi perhatian. Justeru itu individu yang mengalami tekanan berpanjangan amat digalakkan mendapatkan bantuan profesional bagi mengatasi masalah tersebut.Bagi mereka yang mahu mendapatkan bantuan atau mempelajari tentang isu kesihatan minda dengan lebih mendalam, anda dijemput untuk menghadiri Festival Mega iLINDUNGu pada hujung minggu ini.Menerusi Kaunter Saringan Kesihatan Mental di booth Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan (BPPP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pengunjung boleh menjalani saringan ringkas Depression Anxiety Stress Scales (DASS).Saringan itu bertujuan mengesan tahap kesejahteraan emosi serta risiko berkaitan kesihatan mental dalam kalangan pengunjung. Pengunjung yang dikenal pasti memerlukan bantuan lanjut akan diberikan maklumat untuk dirujuk kepada perkhidmatan kesihatan mental yang bersesuaian.Inisiatif itu merupakan antara pengisian aktiviti sempena Festival Mega iLINDUNGu yang berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara dari Jumaat hingga Ahad.Festival anjuran Perkeso itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.Selain saringan kesihatan mental, Festival ini turut menyediakan saringan kesihatan asas menerusi Mobile Bus Health Screening Perkeso dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.Antara pemeriksaan yang ditawarkan ialah indeks jisim badan (BMI), tekanan darah, gula dan kolesterol serta konsultasi bersama doktor.Perkeso menerusi kenyataan memaklumkan festival tersebut turut menghimpunkan lebih 60 pengusaha makanan dan minuman yang berdaftar di bawah LINDUNG Kendiri, termasuk Sushika dan Kunafa Aiwahhh, selain kupon diskaun turut disediakan kepada 100 pencarum terawal.“Festival ini akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh seperti Kamal Adli, Elly Mazlein, Amyza Adnan, Zila Bakarin, Maria Tunku Sabri, Sathiya Kandi, Syazwan Syahmi dan Marc Saddique menerusi sesi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta pelbagai program interaktif bersama pengunjung. “Memasuki penganjuran edisi ketiga, festival ini turut menampilkan persembahan artis tempatan, antaranya Andi Bernadee, Azza, Abby Abadi dan Cherpen pada Jumaat, diikuti Kartika dan Sofazr pada Sabtu. Persembahan Kristal X dan XPDC pula bakal menutup tirai festival pada Ahad,” katanya.Penganjuran kali ini turut melibatkan 11 agensi lain di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat dan khidmat kerajaan di bawah satu bumbung.