SIAPA kata produk Malaysia hanya berkisar tentang makanan, pakaian atau kraftangan?Hari ini, produk tempatan semakin berkembang maju dan dinamik, hadir dengan kualiti, inovasi serta nilai tersendiri sehingga banyak daripadanya wajar berdiri sebaris dengan produk antarabangsa. Daripada produk gaya hidup, kecantikan dan teknologi sehinggalah perniagaan francais, automotif serta pembuatan kereta perisai, kemampuan pemain tempatan sebenarnya jauh lebih bagus daripada yang disangka.Dek kerana itu, pengguna juga wajar memberi peluang kepada jenama Malaysia, bukan sekadar atas semangat patriotik tetapi kerana produk tempatan kini mempunyai kualiti dan daya saing yang boleh dinilai atas meritnya sendiri.Bagi menyemarakkannya, Jom Beli Produk Malaysia atau JOM MALAYSIA sendiri membawa pendekatan lebih luas dengan memberi penekanan kepada kualiti, inovasi, harga dan nilai yang ditawarkan sesuatu produk. Secara mudahnya, kalau sesuatu produk itu bagus, berkualiti dan memenuhi keperluan pengguna, tidak ada sebab untuk kita memandang rendah hanya kerana ia jenama tempatan.Lebih menarik, kepelbagaian produk Malaysia itu akan dapat dilihat sendiri menerusi Festival Jom Malaysia 2026 Pulau Pinang yang berlangsung pada 17 hingga 20 September di Stadium Batu Kawan.Lebih 200 usahawan dari seluruh negara bakal menghimpunkan pelbagai produk tempatan termasuk makanan dan minuman, kesihatan, kecantikan, fesyen, kraftangan, gaya hidup serta pelbagai produk inovatif. Bukan itu sahaja, menerusi segmen JOM DISCOVER, pengunjung juga boleh melihat sisi lain keupayaan industri negara menerusi pameran produk francais, kereta perisai dan automotif.Segmen sebegini secara tidak langsung membuka mata bahawa produk Malaysia bukan lagi berada dalam skala kecil, sebaliknya sudah berkembang merentasi pelbagai industri dan berpotensi pergi lebih jauh.Malah, ia seiring matlamat JOM MALAYSIA untuk membantu produk tempatan berkembang daripada pasaran domestik ke peringkat nasional sebelum menembusi arena global. Oleh itu, apa yang diperlukan sekarang ialah ruang dan peluang untuk pengguna mengenali, mencuba dan menilai sendiri produk yang dihasilkan pengusaha tempatan. Mana tidaknya, kadangkala jenama luar lebih mudah menjadi pilihan hanya kerana ia sentiasa diuar-uarkan menerusi pelbagai platform termasuk advertorial dan e-dagang, walhal produk tempatan jauh lebih baik dalam menawarkan mutu, kreativiti dan inovasi. Pada masa sama, sokongan terhadap produk Malaysia turut memberi kesan kepada ekosistem lebih besar kerana setiap pembelian membantu usahawan berkembang, membuka peluang pekerjaan, menggerakkan rantaian bekalan serta merancakkan ekonomi negara. Namun menyokong produk tempatan tidak bermakna pengguna perlu membeli secara membuta tuli!Pengguna tetap perlu bijak menilai harga, kualiti serta keperluan sebelum membuat keputusan dan sebab itu program kali ini turut dianjurkan bersama Festival Kepenggunaan 2026 (CONFEST 2026).CONFEST memberi penekanan kepada kesedaran hak pengguna, amalan penggunaan bertanggungjawab serta pendidikan kepenggunaan supaya masyarakat lebih bijak ketika membuat pilihan. Antara pengisiannya termasuk kaunter aduan EzAdu, pameran Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), kuiz dan pertandingan kepenggunaan, selain pelbagai kempen kesedaran dan aktiviti untuk seisi keluarga. Turut diadakan ialah Larian Kita Pengguna @JOMMY Penang 2026 pada 19 September membabitkan kategori 3KM Fun Walk dan 5KM Fun Run. Jadi kalau mahu melihat sendiri sejauh mana produk Malaysia sudah berkembang, inilah masanya untuk datang mengenali jenama tempatan, mencuba produknya dan menilai sendiri kualitinya.Paling penting, kemasukan ke Festival Jom Malaysia dan CONFEST 2026 yang bakal berlangsung ini adalah percuma.Pengunjung yang datang juga berpeluang membeli-belah di Jualan Rahmah MADANI selain melakukan aktiviti keluarga atau menyertai pelbagai pertandingan dan e-Sukan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan artis hiburan tanah air yang pasti merancakkan lagi suasana festival.