suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rohingya jadi sasaran... Penyelia pembersihan rompak geng pelarian, curi kad UNHCR

Tertuduh diarah melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan mencederakan dan merompak beberapa lelaki Rohingya, termasuk melibatkan barangan seperti mesin pemotong rumput dan gergaji rantai.

Muhammad Haziq Mohd Rizal, 26, yang bekerja sebagai penyelia pembersihan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di tiga mahkamah berasingan pada Khamis.

Dia berdepan pertuduhan berasingan kerana didakwa merompak tiga lelaki Rohingya masing-masing pada 21 Ogos, 26 Ogos dan 9 September di lokasi berbeza di Taman Perling.

Dalam ketiga-tiga kejadian itu, dia didakwa melarikan gergaji rantai, kunci motosikal, selain mesin pemotong rumput dan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelarian Rohingya mengemis guna modus operandi baharu... Pakai maskot beruang, suka peluk-peluk orang demi duit!

Bagi pertuduhan keempat, Muhammad Haziq turut mengaku tidak bersalah kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi lelaki Rohingya pada 9 September di sebuah taman permainan di Taman Perling.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam bela tertuduh, Mohd Azlan Shah Mohd Allias, memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarganya termasuk isteri berusia 24 tahun yang tidak bekerja.

Hakim Mahkamah Sesyen, N. Kanageswari dan Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, menetapkan jumlah ikat jamin RM15,000 bagi tiga pertuduhan samun, manakala Majistret A. Shaarmini menetapkan ikat jamin RM1,000 bagi pertuduhan keempat.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula tiga pertuduhan samun, manakala 8 Oktober bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja. -The Star

Artikel Lain