Tiga rakyat Malaysia ditahan cuba menyeludup dadah menggunakan bagasi di Hat Yai. -Gambar Polis Thailand
TIGA rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas disyaki cuba menyeludup 87 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta menggunakan perkhidmatan kereta api dari Bangkok ke Hat Yai, pada 31 Julai lalu.Serbuan kira-kira pukul 7.10 pagi oleh Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) bersama polis Thailand itu membawa kepada penemuan bahan terlarang berkenaan yang disembunyikan di dalam beg pakaian milik kesemua suspek. Jurucakap polis Thailand berkata, suspek dalam perjalanan dari Bangkok ke Hat Yai sebelum dipintas dan diperiksa sebaik tiba di Stesen Kereta Api Hat Yai.“Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis methamphetamine kristal (syabu) yang disembunyikan di dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas,” katanya.Difahamkan sindiket itu menggunakan perkhidmatan kereta api bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah yang dibawa itu dipercayai untuk diserahkan kepada sindiket pengedaran dadah di Malaysia.Beliau berkata, ketiga-tiga suspek mengaku ditawarkan upah RM8,000 seorang bagi membawa dadah berkenaan ke destinasi yang ditetapkan.Ketiga-tiga suspek kini disiasat mengikut undang-undang berkaitan dadah Thailand.