suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Cuti sekolah makin dekat, ibu bapa serbu Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia buru pakej berbaloi

Amirul Rizal (duduk, lima dari kanan) bersama Lydia Wang (duduk, empat dari kanan) dan Nazrul (duduk, tiga dari kiri) ketika bergambar bersama peserta hadir di SKCCM, Paradigm Mall.

MENJELANG musim cuti persekolahan yang bakal tiba, ramai ibu bapa mengambil peluang mengunjungi Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2026 di Paradigm Mall, Johor Bahru bagi memburu pelbagai pakej percutian menarik pada harga lebih berpatutan.

Karnival yang diadakan bermula 31 Julai hingga 2 Ogos itu dianjurkan khas untuk memudahkan pengunjung membandingkan tawaran daripada pelbagai agensi dan destinasi pelancongan di bawah satu bumbung sebelum membuat pilihan.

Bagi seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5, Koperal Mohd Razi Rosly, 35, dia dan isteri sememangnya merancang membawa dua cahaya mata mereka yang berusia lima dan enam tahun bercuti sepanjang cuti sekolah nanti.

Kata Razi yang berasal dari Simpang Renggam, Johor, keluarganya lebih gemar memilih destinasi dalam negara setiap kali cuti panjang tiba.

"Kali ini kami bercadang ke negeri di Pantai Timur seperti Pahang dan Terengganu.

"Selepas melihat pakej yang ditawarkan di SKCCM, memang ada beberapa tawaran menarik dan sesuai dengan bajet kami," katanya.

Antara tarikan yang mencuri perhatian ramai pada karnival itu ialah Desaru Fruit Farm yang menawarkan pengalaman unik meneroka ladang buah-buahan tropika seluas 72.8 hektar dengan kepelbagaian lebih 100 jenis buah-buahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Destinasi indah, harga rahmah... Rebut pakej pelancongan eksklusif di Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Paradigm Mall Johor

Pengurus jualannya, Cindy Er berkata, pengunjung berpeluang menyertai lawatan pendidikan ke galeri pertanian, kebun sayur dan herba serta dusun buah-buahan tempatan.

Malah, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk menunggang ATV, zoo mini dan memberi makan ikan.

"Bersempena Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia, kami menawarkan promosi khas dengan harga tiket RM200 untuk dewasa dan RM150 kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun bagi lawatan separuh hari.

"Pengunjung juga bebas memilih tarikh lawatan mengikut kesesuaian mereka," katanya.

Bagi mereka yang menggemari konsep percutian berteraskan alam semula jadi, Belum Rainforest Resort di Gerik, Perak turut menawarkan pengalaman tenang menikmati keindahan hutan hujan tropika dan air terjun.

Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Nor Farith Fathila Ghazali berkata, resort itu menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya keluarga.

Jelasnya, orang ramai boleh menuju ke Belum Rainforest Resort menerusi pelbagai mod pengangkutan, termasuk mengambil penerbangan ke Pulau Pinang atau Ipoh, Perak.

Selain itu, pelancong juga boleh memilih pengangkutan lain seperti menaiki tren ETS hingga ke Stesen Kuala Kangsar atau menaiki bas ke Gerik.

Pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum yang memeriahkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 di Paradigm Mall, Johor Bahru.

Pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum yang memeriahkan SKCCM 2026 di Paradigm Mall.

Sebaik tiba di lokasi berkenaan, pihak resort ada menyediakan perkhidmatan pengangkutan khas untuk membawa pengunjung terus ke Belum Rainforest Resort.

"Menjelang cuti sekolah, kami menggalakkan orang ramai membuat tempahan awal kerana kadar penginapan biasanya mencecah sehingga 80 peratus sebelum cuti bermula," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Jualan The Pines Melaka, Md Hafiz Md Said berkata, karnival itu menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Encore Melaka, sebuah tarikan seni persembahan mengangkat sejarah dan budaya negeri berkenaan menerusi auditorium berputar 360 darjah.

Katanya, persembahan selama kira-kira 70 minit itu menggunakan pentas sepanjang 240 meter dan mampu memuatkan lebih 1,800 penonton pada satu masa.

"Pengunjung turut dapat menikmati pengalaman visual menerusi teknologi pemetaan cahaya (projection mapping), lighting dan pelbagai kesan khas.

"Harga tiket biasa ialah RM78 untuk dewasa, RM48 bagi kanak-kanak dan RM158 untuk pelancong asing.

"Namun sepanjang Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia, kami menawarkan harga promosi RM68 bagi dewasa dan RM138 untuk pelancong asing," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Jualan Trinidad Hospitality Group, Nur Shalina Mokhtar berkata, kumpulan itu menawarkan pilihan penginapan di lapan hotel yang terletak di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Langkawi dan Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Katanya, kepelbagaian lokasi itu memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong mengikut keperluan dan bajet masing-masing.

Selain pakej pelancongan, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai produk tempatan seperti cendol gula apong, karipap, keropok lekor Terengganu dan kek lapis warisan.

Suasana karnival turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, permainan interaktif anjuran Tourism Malaysia, cabutan bertuah serta pelbagai hadiah menarik.

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Edisi Johor 2026 dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Star Media Group, Lydia Wang serta Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim.

Mohd Amirul Rizal berkata, Johor merupakan destinasi kedua daripada enam siri jelajah Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 hasil kerjasama Star Media Group, Tourism Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor.

"Karnival ini menjadi platform kepada pemain industri pelancongan dari seluruh negara untuk mempromosikan produk masing-masing.

"Selain produk pelancongan Johor, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai destinasi menarik di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Johor 2026.

"Kami mengalu-alukan orang ramai hadir bagi meneroka pelbagai destinasi pelancongan dalam negara serta menikmati tawaran istimewa yang disediakan sepanjang karnival berlangsung," katanya.

Untuk rekod, Johor Bahru merupakan lokasi kedua siri jelajah Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 selepas East Coast Mall, Kuantan di Pahang dengan mengangkat tema Destinasi Indah, Harga Rahmah.

Jelajah itu akan diteruskan ke Kota Kinabalu pada 14 hingga 16 Ogos sebelum singgah di Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Kuching.

Artikel Lain