suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Anak reka cerita diculik ah long, perdaya mak ayah bayar RM30,000! Tapi kantoi hantar ‘selfie’ dari dalam but kereta

Bapa ini akui kesal dengan tindakan anak kandungnya yang tergamak mereka cerita kononnya diculik.

SEORANG lelaki didakwa tergamak mereka cerita kononnya diculik ah long demi memperdaya ibu bapa sendiri supaya menyerahkan wang tebusan RM30,000 bagi melangsaikan hutangnya.

Bagaimanapun, drama penculikan itu terbongkar dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis mengesannya bersembunyi di sebuah hotel bajet di Kuang, berhampiran Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu sebelum ini mempunyai hutang ah long sebanyak RM45,000, namun telah diselesaikan bapanya pada awal Mei lalu.

"Ketika itu dia berjanji kepada bapanya yang dia tidak akan meminjam daripada ah long lagi.

"Namun pada penghujung Jun, dia dipercayai membuat pinjaman sekali lagi sehingga jumlah hutangnya dianggarkan mencecah RM40,000 berdasarkan siasatan polis.

"Keluarganya langsung tidak mengetahui perkara itu sehinggalah ibunya menerima panggilan telefon mendakwa anaknya telah diculik," katanya pada sidang media di Wisma MCA pada Rabu.

Menurut Chong, kira-kira pukul 2 petang pada Sabtu, 25 Julai lalu, ibu lelaki itu menerima panggilan daripada telefon bimbit anaknya.

Chong (kiri) berkata lelaki itu kini didakwa atas dua seksyen kerana melakukan pemerasan dan penipuan.

"Pemanggil yang mengaku sebagai ah long menuntut wang tebusan RM30,000 untuk membebaskannya. Namun apabila ibunya cuba menghubungi semula nombor itu, tiada jawapan diterima.

"Bapanya kemudian berjaya menghubungi anaknya yang mendakwa dia diculik, diacukan pisau di leher dan akan dibunuh sekiranya wang tebusan tidak dibayar.

"Keluarga kemudian membuat laporan polis sebelum dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selayang," katanya.

Tambah Chong, ketika berada di balai polis, bapa lelaki itu terus menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai penculik.

Atas nasihat polis, si bapa meminta bukti anaknya masih hidup sebelum menerima sekeping gambar kononnya menunjukkan mangsa berada di dalam but sebuah kereta.

"Bagaimanapun, polis mengesyaki gambar itu palsu kerana ia lebih menyerupai swafoto (selfie) berbanding gambar tebusan sebenar.

"Polis kemudian menjejaki telefon bimbit lelaki itu sebelum menemuinya bersembunyi di sebuah hotel bajet di Kuang.

"Berdasarkan siasatan, lelaki itu mengaku ah long mengajarnya cara untuk mereka cerita penculikan bagi menekan ibu bapanya supaya menyerahkan wang tersebut," katanya.

Menurut Chong, lelaki itu kini didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Sementara itu, bapa lelaki berusia 58 tahun yang enggan dikenali berkata, dia tidak lagi akan membantu melangsaikan hutang ah long anaknya.

"Saya tidak akan membantu anak saya lagi. Saya juga tidak akan membayar sebarang hutang ah long selepas ini. Kepada ah long, jangan datang cari saya lagi," katanya.

Tambahnya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap anaknya. -The Star

Artikel Lain