IBU kepada Ahmad Shah Ahmad Ros yang maut selepas ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan berlaku di Korea Selatan pada Ahad hanya mampu menyaksikan anaknya bertarung nyawa menerusi panggilan video.Zulfah Fadliani, 47, berkata, menantunya Nurcahaya Ruslan, 30, menghubunginya kira-kira pukul 1.30 pagi Ahad bagi memaklumkan kejadian dan sedar perkara buruk apabila mendengar tangisan wanita tersebut. "Dia beritahu anak saya cedera parah selepas ditikam dalam satu pergaduhan. "Saya sempat melihat dia bertarung nyawa ketika menerima rawatan menerusi panggilan video dengan menantu saya."Tapi Allah lebih menyayanginya dan dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor pada Isnin.Ahmad Shah, 26, dipercayai ditikam ketika cuba membantu rakannya yang didakwa diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Daeso-eup, Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara pada Sabtu.Lokasi kejadian di mana Ahmad Shah maut ditikam di Korea Selatan pada malam Ahad.Zulfah berkata, ketika kejadian Ahmad Shah berada di rumah bersama isterinya sebelum menerima panggilan daripada seorang rakan senegara meminta bantuan.Menurutnya, anak sulungnya itu keluar bersama isterinya ke lokasi kejadian bagi meredakan pergaduhan yang sedang berlaku."Isteri anak saya yang mengikuti Ahmad Shah ke lokasi kejadian memberitahu beberapa lelaki, termasuk rakan anak saya sedang diserang oleh sekumpulan lelaki rakyat Malaysia lain."Ketika anak saya cuba meleraikan pergaduhan itu, dia ditikam di bahagian perut oleh salah seorang lelaki sebelum suspek melarikan diri," katanya.Zulfah berkata, anaknya mengalami kecederaan parah dan kehilangan banyak darah sebelum dikejarkan ke hospital.Sementara itu, Zulfah berkata, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya adalah sekitar pukul 6 petang Sabtu dan ketika itu Ahmad Shah tidak memaklumkan sebarang masalah.ARTIKEl BERKAITAN: “Arwah hanya bantu kawan” - Niat baik pemuda Malaysia berakhir duka, maut ditikam rakan senegara di KoreaMenurutnya, Ahmad Shah merupakan seorang anak yang bertanggungjawab dan sentiasa menghubunginya untuk bertanya khabar selain mengambil berat keadaan ahli keluarga lain."Dia juga mempunyai ramai rakan rapat dan sentiasa bersedia membantu sesiapa yang memerlukan."Dia memilih untuk bekerja dalam sektor pembuatan di Korea Selatan pada 2019 bagi menyara keluarga serta membantu ibu bapa dan dua adiknya."Dia anak yang penyayang dan sentiasa berkongsi cerita serta masalah dengan saya," katanya.Zulfah dan suaminya, Ahmad Ros Abidin, 55, turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berhubung kematian anak mereka.Mereka berharap pihak berkuasa Korea Selatan dapat membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. -The Star