PERGADUHAN berkumpulan antara rakyat Malaysia di Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan berakhir dengan tragedi apabila seorang pemuda maut ditikam, manakala rakan senegara ditahan polis pada Ahad.Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, sekitar 10 individu daripada dua kumpulan bertentangan dipercayai berhimpun selepas bersetuju untuk berlawan antara satu sama lain. Menurut laporan The Korea Herald, suspek disyaki menikam mangsa yang berusia 20-an sewaktu pergelutan berlaku, sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, manakala seorang lagi individu yang mengalami kecederaan parah masih dirawat di hospital.Polis memaklumkan suspek melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran selepas insiden berkenaan, tetapi berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian.Sementara itu, menerusi perkongsian ahli keluarga di media sosial, individu yang maut dikenali sebagai Ahmad Shah dan dipercayai menjadi mangsa keadaan sewaktu cuba meleraikan pergaduhan tersebut."Arwah dan isteri bekerja di Korea Selatan. Arwah hanya ingin membantu kawan yang sedang bergelut dalam pergaduhan. "Arwah ditikam oleh orang Malaysia juga yang sedang mabuk. Kesian isteri arwah baru sahaja berkahwin dan bersama arwah di sana," kata individu terbabit.Dalam pada itu, ahli keluarga juga berhasrat membawa pulang jenazah Allahyarham untuk dikebumikan di Rawang, Selangor namun kos penghantaran pulang dianggarkan mencecah RM50,000 hingga RM60,000.