SEORANG pemandu lori yang menggunakan kenderaannya untuk menghentikan sebuah bas ekspres hilang kawalan berhampiran Terowong Menora di Perak menerima penghargaan atas tindakannya menyelamatkan 21 penumpang.Wong Tuck Meng, 40, menerima sijil penghargaan khas serta ganjaran RM10,000 daripada kerajaan dalam satu majlis yang diadakan di Parlimen pada Selasa. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, anugerah yang dibiayai menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap tindakan pantas Wong dalam insiden 15 Jun lalu.“Disebabkan tindakan pantas seorang pemandu, seorang wira bertindak walaupun nyawanya sendiri mungkin terancam, satu tragedi berjaya dielakkan dan banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya dalam majlis tersebut.Menurutnya, bas yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur itu mengalami kerosakan teknikal sehingga hilang kawalan sepenuhnya ketika menuruni bukit berhampiran terowong berkenaan.Loke berkata, Wong kekal tenang dan membenarkan bas tersebut merapat serta bergesel pada bahagian belakang lorinya bagi memperlahankan kelajuan kenderaan itu.ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan potong lori tak lepas! Pikap rempuh dua kenderaan bertentangan… Ragut nyawa doktor, anak kecil serta pegawai kanan LHDN“Dia bukan sahaja berjaya memperlahankan bas tersebut, malah dapat memberhentikannya tanpa ia terbabas apabila mengemudi lorinya ke arah penghadang jalan ketika kedua-dua kenderaan menuruni bukit,” katanya.Wong pula berkata, pada ketika itu dia hanya memikirkan cara untuk mengelakkan kemalangan maut serta memberi masa kepada kenderaan di hadapan untuk menyelamatkan diri.“Bas itu masih berada agak jauh di belakang, jadi saya sempat membunyikan hon dan memberi peluang kepada kereta di hadapan untuk beredar,” katanya.Terdahulu, Dewan Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Wong atas keberaniannya selepas Loke membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua.Sebelum ini, rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial yang memaparkan Wong menggunakan lorinya sebagai pelindung bagi menahan sebuah bas yang hilang kawalan berhampiran Terowong Menora.Wong turut membunyikan hon secara berterusan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya di hadapan, sementara lorinya melindungi kenderaan lain daripada dirempuh bas berkenaan.