suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ada ‘tangan ghaib’ koyak, tokok tambah tulisan dalam diari Zara Qairina - Pakar

Diari milik Zara Qairina didakwa telah diusik sebelum diserahkan untuk pemeriksaan forensik.

SEBAHAGIAN besar halaman dipercayai sudah dikeluarkan daripada diari yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, sebelum ia diserahkan untuk pemeriksaan forensik.

Mahkamah Koroner pada Selasa turut diberitahu bahawa terdapat petunjuk kuat bahawa kandungan beberapa halaman diari berkenaan mungkin sudah diganggu.

Ini termasuk penggunaan dakwat berbeza, tulisan yang dipadam serta corak catatan tarikh yang tidak selaras dengan tabiat penulisan asal Zara Qairina.

Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, Dr Linthini Gannetion berkata, dokumen yang ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 disahkan berasal daripada sebuah buku berkulit PVC hijau bertulis 'Love and Peace' (dirujuk sebagai WK9), dan helaian-helain tersebut sudah dikoyakkan keluar.

Linthini menjelaskan, hasil pemeriksaan mendapati buku rujukan baharu daripada jenis yang sama sepatutnya mengandungi 228 halaman bergaris.

Bagaimanapun, buku WK9 milik mangsa hanya mempunyai 106 halaman bergaris, sekali gus menunjukkan sejumlah besar halaman sudah dibuang sebelum pemeriksaan dijalankan.

Katanya lagi, cara koyakan pada dokumen Y1 hingga Y15 juga didapati berbeza-beza dan tidak menunjukkan satu corak koyakan seragam.

Malah terdapat petunjuk bahawa halaman lain turut dikeluarkan daripada buku tersebut.

Saksi pendakwaan ke-74 itu berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut bertujuan menentukan sama ada wujud tanda-tanda pengubahan atau gangguan tanpa kebenaran terhadap kandungan dokumen Y1 hingga Y15.

Menurutnya, tindakan menanggalkan halaman, perbezaan jenis dakwat pada bahagian tertentu, kewujudan tulisan yang sengaja dipadamkan serta perbezaan corak tarikh pada beberapa halaman menunjukkan bahawa unsur gangguan terhadap dokumen berkenaan tidak boleh diketepikan secara muktamad.

Linthini turut memaklumkan bahawa berdasarkan penelitian terhadap tulisan diari milik Zara Qairina, mangsa lazimnya tidak menulis tarikh secara konsisten pada setiap catatannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Zara Qairina: Ibu pelajar A sedih anak digelar ‘pembunuh’ walau sudah pindah ke sekolah baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Autopsi psikologi dapati kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tamat nyawa sendiri

Hasil pemeriksaan juga mendapati penggunaan pen berbeza pada beberapa bahagian, termasuk Y10B, yang memberi petunjuk bahawa beberapa butiran mungkin sudah ditambah pada waktu yang berlainan.

Pada halaman Y4B pula, perkataan 'hallenge' dalam perkataan 'challenge' dikesan ditulis menggunakan pensel, manakala bahagian perkataan lain ditulis menggunakan pen. 

Selain itu, perkataan 'tauddin' dalam nama 'Retauddin' dipercayai ditambah kemudian menggunakan pen yang berbeza.

Bagi helaian Y13A, Linthini berkata, terdapat kesan tulisan yang dipadamkan termasuk perkataan 'Jala imut' serta dua baris ayat menyebut nama 'Alysha'.

Linthini berpandangan bahawa frasa 'Jala imut' tersebut tidak konsisten dengan ciri tulisan tangan Zara Qairina dan dipercayai ia ditulis oleh orang lain.

Dalam pada itu Linthini mengakui, dia tidak dapat membuat kesimpulan mengenai penulis sebenar bagi Y1A, Y1B, Y2A, Y2B, Y3A, Y3B, Y4A, Y4B, Y5A, Y5B, Y6A, Y6B, Y7A, Y7B, Y8A, Y9A, Y9B dan Y10A kerana ketiadaan sampel tulisan tangan mangsa yang dihasilkan dalam tempoh masa sama.

Katanya, sebahagian sampel yang diperoleh adalah tulisan formal seperti dalam buku latihan sekolah dan bukannya tulisan tidak formal berbentuk diari, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk membuat perbandingan lebih ideal.

Bagaimanapun, tulisan pada Y10B, Y11A, Y11B, Y12A, Y12B, Y13A, Y13B, Y14A, Y14B, Y15A dan Y15B menunjukkan persamaan ketara dengan tulisan tangan Zara Qairina antara Februari hingga pertengahan April 2025.

Berdasarkan penelitian itu, Linthini berpendapat tulisan pada halaman-halaman berkenaan ditulis sendiri oleh Zara Qairina.

Untuk rekod, Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025.

Kematian tragisnya yang didakwa membabitkan unsur buli sebelum ini mencetuskan desakan hebat di seluruh negara, yang menuntut agar langkah membanteras gejala buli diperkukuh serta meningkatkan tahap akauntabiliti pihak pengurusan.

Pada 20 Ogos tahun lalu, lima remaja bawah umur yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa kerana menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara Qairina.

Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu masih dalam perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak.

Artikel Lain