Video tular yang dikongsikan di media sosial menunjukkan lelaki itu berkeliaran di kawasan perumahan di Kepong.
TINDAKAN berani seorang lelaki berpakaian menyerupai anggota tentera sambil mengusung senjata dipercayai tiruan akhirnya membawa padah.Polis kini membuka siasatan selepas kelibatnya itu mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penduduk di Taman Bukit Desa, Kepong. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.31 petang pada Isnin selepas video kelibat lelaki berkenaan tular menerusi aplikasi WhatsApp.Ibrahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian menyerupai anggota tentera, kelasi atau tentera udara.Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000.Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana disyaki memiliki dan mengimport senjata tiruan.Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222 bagi membantu siasatan.Menerusi video [Tonton Video] dikongsikan pada Isnin malam, rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai tentera berjalan sambil membawa senjata dipercayai tiruan di sebuah kawasan kejiranan.Hantaran yang tular itu turut mendakwa lelaki berkenaan dilihat berkeliaran di sekitar Bukit Desa, Usaha Jaya, Usaha Ehsan dan Aman Puri dalam kawasan Kepong.Lebih membimbangkan ramai, individu itu dikatakan gagal dikesan walaupun pasukan keselamatan bergegas menjalankan pemeriksaan di lokasi."Masih menjadi misteri. Seorang lelaki berpakaian ala tentera Jepun bersenapang sedang berkeliaran. Polis dah datang cari tapi tak jumpa."Hilang dalam seminit je. 10.37 malam penduduk kongsi dalam grup, 10.38 malam sekuriti dah cari tapi tak jumpa. Hati-hati semua," tulis individu berkenaan dalam video dikongsikan di Threads.