DUA pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pembantu rumah.Tertuduh merupakan Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34, serta Muhamad Firdaus Sha’aban, 33, dan isterinya, Nurafiqah Nabilah Hazhar, 33. Keempat-empat tertuduh membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, pada Isnin.Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa dengan sengaja mencederaan wanita Indonesia, Yulia Arnida, 34.Ia didakwa berlaku di sebuah rumah di Jalan Ledang, Tampoi pada pukul 8.30 malam, 22 Disember 2025.Empat individu itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, Muhamad Firdaus dan Nurafiqah turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua lagi pembantu rumah, Yatina Yusnita dan Siti Hajar.ARTIKEL BERKAITAN: Dua pasang suami isteri ditahan, bantu siasatan penularan video pukul pembantu rumah Indonesia Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Delima 2/6, Taman Daya di sini antara pukul 2 petang hingga 4 petang, 11 Jun 2025.Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna juga berdepan dua pertuduhan secara berasingan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Siti Hajar dan Yatina Yusnita dengan niat menyebabkan ketakutan kepada mangsa.Mereka didakwa melakukannya di Kampung Melayu Majidee pada pukul 2 petang, 12 Jun lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Mahkamah membenarkan jaminan ke atas Nurfarah Ainna dan suaminya, masing-masing sebanyak RM9,000.Muhamad Firdaus pula dibenarkan ikat jamin RM11,500 dan Nurafiqah sebanyak RM5,500. 23 Julai depan ditetapkan bagi serahan dokumen dan satu lagi kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Julai.