suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Siaran langsung paranormal terputus tiba-tiba… Influencer ditemukan longlai di tandas awam lepas 2 hari ghaib

Pempengaruh itu ditemukan dalam keadaan lemah selepas dua hari dikatakan hilang.

PENCARIAN seorang pempengaruh media sosial yang dilaporkan hilang ketika membuat siaran langsung kandungan paranormal pada Jumaat lalu berakhir apabila lelaki itu ditemukan dalam keadaan lemah di sebuah tandas awam berhampiran kawasan Skytrex Adventure Melaka di Taman Botanikal pada Ahad.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan oleh orang awam pada pukul 3.03 petang.

Menurutnya, JBPM menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 12.18 tengah hari sebelum menggerakkan dua jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba terlibat melakukan pencarian di kawasan sebuah resort selain sekitar Taman Botanikal dengan operasi turut disertai anggota polis serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Hafidzatullah mengingatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa atau JBPM menerusi talian NG999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan termasuk kes kehilangan individu.

Pihaknya juga menegaskan, JBPM merupakan agensi peneraju dalam aspek penyelamatan negara seperti yang termaktub dalam arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Tindakan melulu orang awam melaksanakan operasi secara sendirian boleh mengakibatkan implikasi terhadap undang-undang serta keselamatan yang boleh dikategorikan sebagai 'krisis dalam krisis'.

"Banyak implikasi buruk mungkin berlaku sekiranya lewat membuat notifikasi kepada JBPM, antaranya radius pencarian menjadi lebih besar, tohmahan kepada agensi kerajaan dan pembaziran sumber kerajaan yang boleh dijimatkan jika diberitahu lebih awal," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, siasatan mendapati mangsa memulakan siaran langsung kandungan paranormal di sebuah resort pada pukul 8.30 malam, Jumaat lalu.

Siaran berkenaan bagaimanapun terputus secara tiba-tiba kira-kira pukul 9 malam sebelum rakan mangsa cuba menghubunginya serta menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Susulan kegagalan menghubungi mangsa, satu laporan polis kemudian dibuat bagi memaklumkan kehilangannya.

Artikel Lain