Penetapan kadar baharu ini dibuat bagi menyeragamkan penjualan diesel di seluruh negara. - Gambar hiasan
HARGA diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai depan menerusi pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi menggunakan MyKad.Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada program di Bintulu, Sarawak pada Ahad. Sementara itu menurut Kementerian Kewangan (MOF), pembaharuan itu dilaksanakan sama seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menyeragamkan kaedah pembelian diesel bersubsidi di seluruh negara."Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi."Dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah ini penting bagi memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia," kata Kementerian Kewangan menerusi kenyataan.Jelas Kementerian Kewangan lagi, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi sebelum ini mewujudkan ruang kepada ketirisan (penyalahgunaan) serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara.Ketika ini, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, manakala diesel tanpa subsidi di Semenanjung berharga RM4.37 seliter.Susulan penyelarasan itu, harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak turut diturunkan kepada RM2.10 seliter, manakala bukan warganegara tidak lagi layak menikmati subsidi berkenaan.Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada Isnin.