suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ayah tinggalkan bilik lebih kemas daripada biasa… Misteri hilang cari rumput terjawab, jasad ditemukan di kebun getah

Kehilangan Asmadi terjawab apabila mayat mangsa ditemukan dalam kebun getah pada Ahad.

MISTERI kehilangan seorang lelaki selepas keluar mencari rumput untuk ternakan kambing akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di sebuah kebun getah di Felda Teloi Timur, Kedah, pada Ahad.

Mangsa, Asmadi Ibrahim, 58, ditemukan berhampiran motosikal miliknya kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas dilaporkan hilang sejak 11 Jun lalu.

Anaknya, Nurul Atirah Nadira, 23, berkata, penemuan jasad bapanya itu amat mengejutkan keluarga, namun mereka reda dengan ketentuan Ilahi.

Menurutnya, sepanjang kehilangan bapanya, keluarga hidup dalam kebimbangan kerana tidak mengetahui keadaan mangsa selain berharap dia ditemukan dalam keadaan selamat.

Sejak kehilangannya, pelbagai ikhtiar dilakukan bagi membantu usaha pencarian, termasuk mengadakan bacaan surah Yasin dan solat hajat.

Menurut Atirah yang menetap di Kuala Lumpur, kali terakhir dia bertemu bapanya ialah sewaktu sambutan Hari Raya Aidiladha dan ketika itu mangsa kelihatan ceria melayan cucunya tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

Menurutnya, Allahyarham tinggal bersama datuknya, Taharin Abdullah, 80 sejak kematian isteri.

Pemeriksaan polis di bilik mangsa selepas kehilangannya mendapati ia berada dalam keadaan tersusun rapi dan lebih kemas berbanding kebiasaannya.

Tambah Atirah, bapanya tidak mempunyai sebarang penyakit dan keluarga reda menerima pemergiannya meskipun sedih kerana tidak berada di sisi mangsa pada saat-saat akhir.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur selepas selesai proses bedah siasat.

Pada 12 Jun lalu, satu hantaran di Facebook Media Komuniti Penduduk Felda Teloi Timur menggesa komuniti setempat itu menggerakan usaha mencari mangsa.

Hantaran itu memaklumkan Asmadi keluar pada petang hari untuk mencari rumput sebelum didapati hilang kerana tidak pulang ke rumah.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada pukul 11.50 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Hasil pemeriksaan mendapati mayat berada dalam keadaan reput dan dipercayai sudah lama berada di lokasi berkenaan selepas didapati keluar dari rumah sejak 10 jun lalu. 

Pengecaman mangsa dibuat berdasarkan kad pengenalannya yang ditemukan berhampiran mayat bersama motosikal Modenas Kriss berwarna hitam miliknya.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat.

Artikel Lain