VIDEO memaparkan seorang lelaki dipercayai memandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura tular di TikTok selepas dia didakwa cuba mengisi petrol jenis RON95 di sebuah stesen minyak.Video yang dikongsikan pada Sabtu itu menunjukkan lelaki berbaju merah jambu berkenaan sedang memegang nozel kuning RON95 sebelum perbuatannya itu disedari dan didatangi oleh pekerja stesen minyak terbabit. "Pemandu warga Singapura tertangkap tengah isi RON95 dekat Selangor," tulis individu yang berkongsi video berkenaan.Dalam rakaman berkenaan, pekerja terbabit dilihat segera mengangkat nozel kuning bagi menghentikan pengisian petrol berikutan pemandu kenderaan jenis Audi tersebut menggunakan nombor pendaftaran Singapura.Lokasi dan waktu kejadian sebenar bagaimanapun tidak dapat dipastikan.Di ruangan komen, ramai netizen memuji tindakan pantas pekerja berkenaan kerana menghalang penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing."Mantap abang tu, syarikat stesen minyak kena naikkan gaji dia."Kena ada seorang hati kering macam ni di setiap stesen."Aku rasa ramai je macam adik (pekerja) tu. Tapi rezeki adik ni, pemilik video sempat rakam. Goodjob," tulis beberapa individu di ruangan komen video.Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan itu kerana menyangka pemandu berkenaan tetap membayar petrol pada harga biasa."Apa salahnya? Bukan dia dapat harga RM1.99 pun walaupun isi minyak kuning," ujar individu berkenaan.Untuk rekod, semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk kereta dan motosikal dilarang membeli petrol RON95 bersubsidi, sebaliknya hanya dibenarkan mengisi RON97 atau diesel pada harga pasaran.Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini memaklumkan sekatan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing serta penggunaan kad kredit dan debit asing di terminal layan diri stesen minyak di seluruh negara berkuat kuasa mulai 1 April 2026.Menurut KPDN, mulai tarikh tersebut tindakan undang-undang boleh diambil bukan sahaja terhadap pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan, malah pemilik atau pemandu kenderaan asing yang sengaja membeli RON95, tanpa mengira kaedah pembayaran yang digunakan.