MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dijadual berlepas pada 5 April (Ahad).Menerusi kenyataan Pejabat Menteri Besar pada Jumaat, Amirudin diamanahkan untuk mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetuai misi yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu. Kali ini, misi berkenaan akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin meruncing di Gaza.ARTIKEL BERKAITAN: “Doakan video SOS tak disiarkan” – Ahmad Faezal sertai Misi Sumud Flotilla, lima peserta Malaysia sudah berangkat pada Rabu"Menteri Besar akan berlepas pada 5 April untuk mengetuai Delegasi Malaysia, memastikan pelepasan kontena bantuan di Kaherah berjalan selamat, mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza."Seterusnya memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol," kata kenyataan itu pada Jumaat.Sementara itu, Amirudin menerusi hantaran di Facebook rasminya meminta rakyat Malaysia mendoakan agar misi berkenaan berjalan dengan jayanya."Saya mohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi ini berjaya dan urusan kami dipermudahkan serta semua yang terlibat selamat dalam perlindungan Allah SWT. Insya-Allah. Free Palestine," tulisnya. Terdahulu, peserta GSF sebelum ini, Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat memaklumkan kumpulan pertama Sumud Nusantara berangkat pada Rabu.Namun, identiti lima individu yang berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersebut terpaksa dirahsiakan terlebih dahulu."Identiti mereka masih dirahsiakan demi menjaga maslahah lebih besar. Selamat berjuang sahabat ku. Semoga keberkatan Allah bersama kalian," katanya.Pada Ogos tahun lalu, Malaysia menghantar 34 aktivis menyertai GSF, dengan 23 daripada mereka meneruskan pelayaran memasuki Zon Merah 3 ke Gaza.Namun, pada 2 Oktober semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel sebelum dibawa ke penjara Ketziot.Selepas beberapa hari, kesemua mereka dibebaskan dan pulang ke Malaysia pada 7 Oktober 2025.