suria

[V] Cemas! Individu terjatuh atas landasan LRT di stesen Abdullah Hukum, perkhidmatan tren tergendala

Seorang individu berjaya diselamatkan selepas terjatuh atas landasan di LRT Abdullah Hukum, petang Jumaat. -Foto media sosial

PENUMPANG sistem transit aliran ringan (LRT) di stesen Abdullah Hukum, Kuala Lumpur gempar susulan insiden seorang individu dilaporkan terjatuh atas landasan, petang Jumaat.

Rakaman [Tonton Video] mengenai kejadian turut tular di laman sosial, memaparkan situasi cemas di stesen berkenaan lantaran perkhidmatan tren dipercayai terpaksa dihentikan seketika. 

Satu perkongsian turut memaparkan keadaan mangsa yang sedang terbaring di atas landasan ketika tren tiba. 

Menurut warga maya yang juga saksi di tempat kejadian, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataannya mengesahkan insiden kemalangan berkenaan berlaku pada pukul 6.09 petang Jumaat.

"Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada pihak polis, bomba dan pasukan ambulans yang sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Susulan kejadian tersebut, perkhidmatan tren di antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum diberhentikan buat sementara waktu. 

"Perkhidmatan tren alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi," menurut kenyataan berkenaan.

Tambahnya, penumpang yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada pegawai bertugas dan polis bantuan di stesen-stesen berkenaan.

"Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi laman media sosial Rapid KL dan pengumuman di stesen," ujarnya lagi.

Artikel Lain