suria

Foto ‘jodoh lebaran’ songsang cemari Syawal, kerajaan Melaka arah siasat kandungan promosi LGBT

Tangkap layar foto yang tular di media sosial.

KERAJAAN negeri Melaka mengarahkan siasatan segera berhubung satu hantaran tular di media sosial yang didakwa mempromosikan kandungan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di Merlimau, kata Datuk Rahmad Mariman.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri itu berkata, semakan sedang dijalankan termasuk untuk mengesahkan lokasi sebenar kejadian yang didakwa.

Tambahnya, hantaran yang dimuat naik di Threads itu menyatakan kejadian berlaku di Kampung Batu Gajah, Merlimau, tetapi maklumat tersebut masih belum disahkan.

“Siasatan akan dijalankan segera untuk mengesahkan perkara ini, termasuk lokasi kejadian sekiranya ia benar berlaku. 

"Kami tidak mahu membuat andaian awal tetapi akan membolehkan siasatan menyeluruh dan teliti dijalankan,” katanya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada cara nak kenal suami gay, biseksual... Peguam syarie kongsi ciri-ciri berdasarkan pengalaman kendali kes

Rahmad berkata siasatan juga akan meneliti aspek perundangan yang berkaitan bagi menentukan tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

“Sebarang tindakan akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular foto individu dipercayai lelaki berperwatakan wanita bergambar dengan seorang lagi lelaki.

Kedua-duanya dilihat mengenakan pakaian sedondon berwarna merah jambu.

Hantaran itu disertai kapsyen “Jodoh Lebaran Dah Tiba. Alhamdulillah”, beserta keterangan lokasi di Kampung Batu Gajah.

Hantaran itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam talian, dengan sesetengah pengguna mengkritiknya kerana didakwa mempromosikan kandungan LGBT semasa sambutan Hari Raya. -The Star

 

Artikel Lain