suria

Adik perempuan hampir putus tangan, abang maut ditetak berulang kali… Suspek jiran kawasan perumahan!

Mangsa pergaduhan maut. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki maut dengan beberapa kesan tetakan manakala tangan adik perempuannya hampir putus dalam kejadian serang di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, Sungai Petani di Kedah, awal pagi Selasa.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa berusia 20-an yang ditemukan berlumuran darah, dipercayai mati di tempat kejadian.

"Mangsa dipercayai ditetak berulang kali menggunakan senjata tajam sebelum meninggal dunia.

"Beberapa senjata yang ditemukan turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, seorang lagi adik perempuan mangsa yang berada di tempat kejadian turut cedera dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Setakat ini motif serangan masih dalam siasatan namun kejadian itu bukan disebabkan mabuk.

"Setakat ini kita masih siasat hubungan mangsa dengan penyerang.

"Suspek juga dikatakan tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa," jelas beliau,

Dalam pada itu Hanyan berkata, pihaknya menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah pada Selasa untuk mendapatkan permohonan reman bagi membolehkan siasatan dilakukan manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk tindakan lanjut.

 

Artikel Lain