suria

Geng kereta main mercun 2 pagi tiada ‘common sense’, penduduk Cyberjaya tertekan hadap bunyi bising - “Esok kerja, kejap lagi nak sahur”

Sekumpulan lelaki dipercayai bermain mercun di Cyberjaya. -Gambar media sosial

PENDUDUK di Cyberjaya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sekumpulan individu yang didakwa sering membuat bising sehingga lewat malam dengan bermain mercun.

Berdasarkan perkongsian di Threads, seorang lelaki menegur sekumpulan individu berkereta bermain mercun berlarutan sehingga sekitar pukul 2 hingga 3 pagi.

"Tak payah main kat sini la, main tempat lain. Tahu tak anak nak tidur? Esok nak kerja, kejap lagi nak sahur.

"Common sense sikit la, tempat ni ramai orang. Apa nak jadi? Main mercun merata-rata," katanya.

Warga maya dipercayai penduduk sekitar mengucapkan terima kasih kepada lelaki tersebut yang berani menegur kumpulan berkenaan secara bersemuka dan merakam gambar kereta mereka.

Penduduk berkongsi suasana pukul 3 pagi di Cyberjaya. -Gambar media sosial

Penduduk berkongsi suasana pukul 3 pagi di Cyberjaya. -Gambar media sosial

“Terima kasih tuan sebab turun tolong tegur dan ambil gambar mereka. Kereta itu memang kereta yang sama hampir setiap hari. Saya memang cam kereta-kereta itu,” katanya.

Menurutnya, bunyi kuat daripada ekzos kereta serta letupan mercun yang dibaling kumpulan berkenaan memberi kesan kepada penduduk sekitar.

“Bunyi kereta mereka rem-rem tu kuat sangat. Mercun yang mereka baling sampai boleh rasa gegaran dekat rumah kami.

“Ada anak kecil, orang tua dan bayi yang selalu terkejut. Bunyi bising itu memang menganggu kami,” katanya.

Menurut netizen, situasi itu lebih mengecewakan kerana kawasan berkenaan bukan sahaja kawasan perumahan malah berhampiran Hospital Cyberjaya.

“Kawasan ini juga dekat hospital. Memang kurang bijak betul kalau buat bising macam ini selepas tengah malam.

“Memang teramat bising. Kasihan pesakit di hospital. Di kawasan perumahan pun ramai anak kecil,” katanya.

Dia turut berkongsi keadaan ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser dan memerlukan rehat secukupnya.

“Mak saya pesakit kanser, baru lepas rawatan kemoterapi. Kepala pening dan susah nak tidur sebab bunyi bising,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berkuasa termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan dapat meningkatkan rondaan serta mengambil tindakan bagi memastikan ketenteraman kawasan perumahan terjamin.

“Kami harap pihak polis dan pihak berkuasa tempatan lebih kerap meronda dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Artikel Lain