suria

[V] Ada hikmah pesanan makanan kena ‘cancel’, lelaki jemput rider basah dalam hujan berbuka puasa - “Allah nak bagi peluang buat pahala”

Rezeki seorang penghantar makanan dijemput berbuka puasa. -Gambar media sosial

BENARLAH bulan Ramadan yang mulia ini penuh dengan keberkatan selain peluang untuk kita membenih pahala dengan melakukan ibadah dan sedekah.

Seperti kisah seorang lelaki ini, kejadian seorang penghantar makanan membatalkan pesanan makanannya meninggalkan seribu hikmah walaupun pada awalnya diselubungi perasaan marah.

Menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video], lelaki dikenali sebagai @remy_racunscoot pada awalnya membuat pesanan makanan sekitar pukul 6 petang, namun tidak menyedari penghantar pertama telah membatalkan tempahan tersebut.

Katanya, hanya sekitar pukul 7 malam barulah seorang rider lain mengambil pesanan berkenaan walaupun keadaan cuaca hujan.

“Order makanan pukul 6 tapi tak perasan rider cancel order. Pukul 7 abang ni ambil order, nasib baik abang ni sudi ambilkan order.

“Balik dari kerja, cuaca hujan pun redah, cari rezeki,” katanya.

Ketika rider itu tiba menghantar makanan, dia terus bertanya sama ada lelaki berkenaan sudah berbuka puasa atau belum sebelum menjemputnya masuk ke perkarangan rumah untuk berbuka bersama.

"Aku jemput masuk berbuka dulu, banyak kali abang ni tolak. Kebetulan isteri ada masak mi goreng untuk anak-anak. 

"Maaf yer bang, itu sahaja yang mampu kami hidangkan,” ujarnya.

Dalam video tersebut, dia dilihat membawa mi goreng ke luar rumah untuk diberikan kepada rider berkenaan sebagai juadah berbuka.

“Alhamdulillah dapat kongsi rezeki. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Semoga urusan abang sentiasa dipermudahkan dan dilindungi,” katanya.

Dia mengakui pada mulanya dia berasa marah apabila pesanan awal dibatalkan, namun akhirnya menyedari kejadian itu membawa hikmah tersendiri.

“Mula-mula memang rasa nak marah rider cancel order, tapi sebenarnya Allah nak bagi kita peluang buat pahala di bulan Ramadan ini,” katanya.

Artikel Lain