POLIS menahan seorang lelaki berusia 38 tahun berhubung kes penderaan membabitkan kanak-kanak bawah umur di sebuah kediaman di Petaling Jaya, Selangor.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.21 tengah hari semalam daripada seorang warga tempatan. "Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di Petaling Jaya dan suspek adalah bapa saudara kepada mangsa."Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia antara lapan hingga 11 tahun bertindak melawan ibu kepada suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Susulan maklumat diperoleh, polis menahan suspek serta merampas beberapa barangan berkaitan bagi membantu siasatan.Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Ahad.Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kes berkenaan di media sosial.Saksi yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di 03-79662222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Irfan Emir Mohd Alwi di talian 016-5379507.Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 35 saat tular di media sosial yang memaparkan kanak-kanak berkenaan dipukul menggunakan rotan serta dibaling dengan kerusi.