PASANGAN suami isteri yang juga pemilik sebuah kedai emas di Pekan, Pahang, maut selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya pada Isnin.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pekerja, menerusi satu hantaran di salah satu akaun rasmi TIkTok perniagaan mereka pada Selasa.
Menurut pekerja tersebut, arwah majikannya, Nur Syamimi Rosli, 36 sudah beberapa hari tidak hadir ke kedai.
Sebelum terlibat dengan kemalangan bersama suami, Mohd Izuddin Harmaini, 51, dia sempat memasukkan duit gaji pekerja ke dalam akaun masing-masing.
"Dia (Syamimi) sempat memasukkan duit gaji pekerja dan selepas itu dia diam begitu sahaja.
"Banyak yang menjadi tanda tanya kenapa akhir-akhir ni dia selalu membuat posting video ayat sedih serta menyentuh hati semua.
"Minta jasa baik semua, kita sama-sama sedekahkan (bacaan) al-Fatihah kepada arwah bos saya dan suami tercinta," tulis individu berkenaan.
Posting itu mengundang rasa sedih dalam kalangan pengikut yang rata-ratanya mendoakan agar kedua-duanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Difahamkan, Syamimi membuka perniagaan kedai emas, Mimiey D'Jewels dan mengusahakan sebuah kafe, LeyParking Cafe.
Memetik laporan Berita Harian Online, kereta jenis Ford Mustang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua tiang elektrik.
Nahas sekitar pukul 2 petang yang meragut nyawa kedua-dua mangsa itu berlaku di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Felda Pemanis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal mendapati hujan lebat di lokasi kejadian menjadi faktor pemandu gagal mengawal kenderaan.
Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Muhd Hazim Abd Razak memaklumkan, pihaknya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta.


