suria

Pakar psikologi kanak-kanak sahkan tiada elemen pengabaian terhadap Zayn Rayaan

Ismanira hadir ke Mahkamah Sesyen bagi sesi perbicaraan bela diri berhubung pertuduhan pengabaian kanak-kanak.

SEORANG doktor pakar psikologi kanak-kanak menegaskan, tiada elemen pengabaian dalam pertuduhan pindaan terhadap ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Menerusi sesi perbicaraan bela diri yang dihadapi Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Noor Aishah Rosli, 49, yang juga saksi pembelaan menjelaskan tentang takrifan profesional pengabaian.

Menuut beliau, terdapat empat elemen utama melibatkan pengabaian iaitu dari segi emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas.

Malah katanya, definisi itu turut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Psikologi Amerika Syarikat (APA), yang mana pengabaian memerlukan tempoh yang konsisten.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira hanya mahu perhatian suami, mesej ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ bukan dituju kepada Zayn Rayyan

ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira hanya mahu perhatian suami, mesej ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ bukan dituju kepada Zayn Rayyan

Ketika prosiding pada Isnin, Noor Aishah yang memiliki sijil kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia menyatakan sudah meneliti laporan polis berkaitan insiden kehilangan Zayn Rayyan, termasuk kenyataan ibu mangsa bahawa anaknya seorang OKU autisme yang tidak boleh bercakap.

“Ketika hilang, Zayn Rayyan lengkap memakai pakaian sekolah. 

"Saya dapati dalam dokumen yang saya baca, ibu berjalan di hadapan dan anak berjalan di belakang, dalam situasi itu tiada tanda pengabaian dapat disimpulkan,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela.

Noor Aishah turut dirujuk kepada laporan bedah siasat dan beliau mengesahkan telah membaca tentang kecederaan pada badan, telinga, kepala dan kemaluan mangsa tetapi tiada tanda mangsa melawan.

Apabila ditanya sama ada laporan tersebut menyebut tentang penderaan, beliau menjawab, kecederaan dialami konsisten dengan elemen penderaan namun tidak dinyatakan secara eksplisit bahawa berlaku pengabaian.

Noor Aishah juga mengesahkan telah membaca laporan perubatan daripada hospital dan menegaskan tiada bukti dalam laporan tersebut yang menunjukkan arwah Zayn Rayyan adalah mangsa pengabaian.

Arwah Zayn Rayyan ditemukan maut di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman pada pukul 10 malam, 6 Disember 2023.

Arwah Zayn Rayyan ditemukan maut di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman pada pukul 10 malam, 6 Disember 2023.

Difahamkan beliau turut diperlihatkan keterangan beberapa saksi pendakwaan termasuk Dr Nur Hanisah yang membuat laporan perubatan Zayn Rayyan bekerja di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh dan Dr Bernice seorang pakar pediatrik.

Namun katanya, Dr Bernice sendiri mengakui beliau bukan pakar psikologi dan tidak layak memberikan pandangan profesional dalam konteks pengabaian kanak-kanak.

“Yang layak memberi pandangan mengenai isu ini ialah pakar psikologi kanak-kanak seperti saya,” tegasnya.

Prosiding kes ini dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.

Untuk rekod, Ismanira perlu membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.

Kesalahan didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi tersebut antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. 

Artikel Lain