IBU kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir membuat satu lagi laporan polis selepas mendakwa terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya ketika proses pengurusan jenazah dijalankan.
Laporan terbaharu itu dibuat Noraidah Lamat, 45, pada Ahad di Balai Polis Sipitang, Sabah susulan maklumat baharu yang dimaklumkan kepada pasukan peguamnya selepas teringat semula insiden tersebut.
Menurut peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, anak guam mereka menyedari kewujudan kesan lebam ketika memandikan jenazah Zara di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.
"Anak guam kami melihat sendiri kesan-kesan lebam tersebut kerana dia yang memandikan jenazah Zara bersama beberapa orang wanita lain.
"Fakta penting ini tidak dimasukkan dalam laporan-laporan polis terdahulu kerana dia terlupa sepenuhnya mengenainya.
"Noraidah hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam tersebut selepas kami menyoalnya pada tengah hari semalam (Sabtu) berkenaan keadaan tubuh anaknya ketika dimandikan,” katanya pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu arwah Zara Qairina tak pernah kaitkan kematian anak dengan mana-mana VVIP
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada ‘plot twist’ kaitkan ibu dengan kematian Zara Qairina... Arwah pernah mengadu diugut Kak M, nak ‘touch’ sampai berdarah
Menurut peguam, Noraidah tidak mengingati perkara itu lebih awal disebabkan tekanan emosi yang dialami sejak kejadian yang menimpa anaknya.
"Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam yang dilihat itu adalah kecederaan akibat pukulan dengan objek tumpul ke bahagian belakang Zara sebelum dia ditemukan di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada subuh 16 Julai," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan peguam turut memaklumkan mereka mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa siasatan polis berhubung kes tersebut telah selesai dijalankan.
Susulan itu, satu kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada minggu hadapan untuk tindakan lanjut.
Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Kematian tragis itu mendapat perhatian dan simpati serta mencetuskan kemarahan netizen selepas dikaitkan dengan dakwaan kes buli, hingga muncul tanda pagar #JusticeForZara di media sosial sebagai gesaan (solidariti) kepada siasatan yang telus dan adil.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan seramai 60 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.


