LIMA warga Iran, termasuk sepasang suami isteri, direman bagi membantu siasatan kes pukau di George Town, Pulau Pinang.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tiga lelaki dan dua wanita itu dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Berdasarkan modus operandi mereka, kumpulan ini bergerak secara berkumpulan dan mempunyai kemahiran mencuri wang.
“Semakan terhadap rekod perjalanan serta ketulenan pasport mereka masih dijalankan oleh Jabatan Imigresen,” katanya kepada media pada Isnin.
Alwi memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam kes-kes lain di negeri luar Pulau Pinang.
Tambahnya, pihak polis percaya suspek menaiki kereta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada 27 Julai lalu dan menginap di sebuah homestay di Batu Ferringhi.
Pada Ahad, dilaporkan lima warga Timur Tengah berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan di kawasan Gurney Plaza dalam satu operasi khas dikenali sebagai Ops Tourist.
Menurut Alwi lagi, polis sebelum itu menerima tiga laporan berkaitan kecurian wang membabitkan pelancong dari Taiwan, Belanda serta Syria di kawasan Pulau Tikus dan Jalan Penang sepanjang 30 Julai hingga 1 Ogos.
Susulan itu, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah George Town melancarkan Ops Tourist untuk menahan kesemua suspek.
Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas pelbagai mata wang asing, dua buah kenderaan dan satu paket ganja.
Kesemua suspek direman sehingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


