suria

[V] MCMC siasat 3 pempengaruh buat video beri sisa ayam kepada gelandangan

Tangkap layar video tular yang mendapat kecaman ramai.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan siasatan telah dimulakan susulan penularan video tiga pempengaruh media sosial yang memberi sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan.

Menurut MCMC, tindakan mengeksploitasi golongan terpinggir demi kandungan hiburan murahan bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.

"Kami memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan dan menimbulkan keresahan orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pihaknya turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar kandungan bersifat provokatif kerana ia boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kontroversi tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Chan Chun Kuan yang sebelum ini menggesa MCMC untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Chan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak sensitif dan menjatuhkan maruah manusia serta eksploitasi terhadap individu terpinggir demi kandungan merupakan hiburan tidak boleh diterima.

Pada Isnin, tiga individu terlibat termasuk Aluk Durianzaiii tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran video [Tonton sini] di Instagram. 

Mereka menjelaskan video berdurasi 1 minit 20 saat itu dirakam dengan persetujuan lelaki gelandangan terbabit, dan mendakwa makanan lengkap diberikan selepas rakaman dibuat.

"Kami bertanya kepada gelandangan itu jika dia akan berlakon bersama kami dan dia bersetuju, jadi kami bertindak bersama-sama untuk merakam video itu.

"Tolong berikan kami peluang yang lebih baik untuk memberi kembali kepada masyarakat. Kami akan melakukan lebih banyak kebaikan nanti. Saya benar-benar minta maaf kepada semua orang," kata Aluk mewakili dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, penjelasan itu tetap mendapat kritikan warganet yang menganggap tindakan mereka sebagai tidak bermoral dan sekadar memancing kemarahan demi perhatian di media sosial.

Artikel Lain