KEMATIAN penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Allahyarham Nurly Shahirah Azman terus mendapat perhatian ramai.
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan Galeri Nurly Shahirah bakal diwujudkan di kampus UPSI.
"Galeri ini diwujudkan sebagai penghargaan UPSI kepada pelajar cemerlang ini yang diketahui meninggal dalam keadaan memeluk al-Quran.
"Jika ibu bapanya izinkan, pihak universiti akan menempatkan mushaf al-Quran yang ditulis arwah (di galeri ini).
"Ia diharap dapat menjadi inspirasi kepada para huffaz untuk menghafal al-Quran melalui penulisan sendiri," ujarnya.
Mohd Na'im berkata demikian ketika Program Ziarah MADANI Peduli di Kampung Gong Pasir, Besut, Terengganu pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Nurly Shahirah sangat cintakan al-Quran, tulis semula Kalamullah demi kuatkan hafalan... Abang dedah amalan arwah semasa hidup
Menurut Mohd Na'im, Galeri Nurly Shahirah akan berada dalam bangunan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan).
Institut itu dijangka siap pada awal tahun 2027.
Dalam pada itu, Mohd Na'im turut mengingatkan orang ramai agar menjaga adab ketika menziarahi pusara Allahyarham.
Sebelum ini, mStar melaporkan tali penghadang dipasang di kubur Allahyarham susulan tindakan khurafat segelintir individu.
Untuk rekod, Allahyarham Nurly Shahirah merupakan salah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.