SEORANG penceramah bebas ditahan polis selepas disyaki menyebarkan video seks bersama empat isterinya, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, laporan ke atas suspek dibuat oleh isteri keduanya pada 16 Jun.
"Bertindak atas laporan, polis membuat tangkapan terhadap suami pengadu dan merampas dua telefon bimbit serta sebuah komputer riba milik suspek.
"Hasil semakan dalam telefon bimbit milik suspek menjumpai beberapa video seks suspek dengan isteri-isteri dan gambar mengaibkan beberapa wanita lain," menurut kenyataan pada Sabtu.
Susulan laporan yang dibuat pengadu, suspek direman selama empat hari bermula Rabu lalu sehingga Sabtu bagi siasatan lanjut.
Tambah Mohd Iqbal, suspek sudah diberikan jaminan polis sementara proses melengkapkan siasatan kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.