suria

Libatkan isu integriti dan akhlak, KPM rehatkan guru didakwa jalin hubungan terlarang

Guru didakwa jalin hubungan dengan suami orang direhatkan.

SUSULAN kisah tular membabitkan skandal bersama suami orang, seorang guru sekolah menengah di selatan tanah air telah direhatkan daripada tugas pengajaran.

Tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tindakan itu diambil sementara siasatan dalaman dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan ia melibatkan isu integriti, kelakuan dan akhlak guru berkenaan.

“Tidak, tidak (mengajar). Dia direhatkan daripada mengajar. Kita telah mengambil pendekatan untuk memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar. 

"Oleh itu, guru terbabit perlu berada dalam proses siasatan tersebut dan tidak mengganggu perjalanan siasatan.

“Maknanya, kita telah mengeluarkan beliau daripada sekolah supaya siasatan boleh berlangsung dengan lebih mudah dan bebas daripada sebarang gangguan," jelasnya sambil memaklumkan guru terbabit masih menjalankan tugas-tugas sebagai seorang kakitangan awam.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Abang wiring’ akhirnya muncul, bakal beri penjelasan - "Ini ujian untuk diri saya"

Fadhlina turut menyatakan, pihaknya memandang seirus sebarang isu melibatkan integriti, akhlak dan kelakuan guru di negara ini.

“KPM mengambil isu ini secara serius, sama ada yang berlaku secara rasmi mahupun yang tular di media sosial.

"Kita bertanggungjawab memastikan semua guru mematuhi standard integriti dan etika keguruan yang ditetapkan oleh kementerian.

“Jaminan kami adalah untuk mempertahankan nilai etika dan integriti dalam profesion keguruan. Mudah-mudahan guru-guru kita sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua guru supaya menjaga tingkah laku, sama ada ketika berada di dalam sekolah mahupun di luar waktu persekolahan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Dermasiswa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Selasa.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan cinta terlarang antara guru wanita dan seorang lelaki yang berstatus suami orang.

Berdasarkan perkongsian, kedua-dua mereka didakwa menjalin hubungan selepas lelaki tersebut menawarkan perkhidmatan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pendawaian elektrik di rumah guru berkenaan.

Selain penularan tangkap layar perbualan berunsur lucah antara mereka menerusi WhatsApp, warga maya turut disajikan dengan beberapa klip video yang memaparkan isteri lelaki terbabit bersemuka dengan guru berkenaan.

Artikel Lain