SEORANG anggota polis sedang dalam tahanan ditemukan meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, Perlis pada Isnin.
Mangsa, berusia 28 tahun dan berasal dari Setiu, Terengganu itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam selnya oleh pegawai wadar kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 5.25 petang dan mendapati lelaki terbabit merupakan anggota polis.
"Mangsa diarah ke Mahkamah Majistret Kangar pada pukul 8 pagi semalam bagi menghadiri perbicaraan namun enggan berbuat demikian.
"Mangsa yang berada dalam selnya dilawati setiap jam oleh wadar bertugas dan setiap tinjauan mendapati dia hanya diam sambil berbaring di tempat tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada pukul 4.30 petang, wadar yang meronda cuba mengejutkan lelaki itu yang disangka tidur.
Namun dia didapati tidak lagi bergerak dan segera mengarahkan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
"Pada pukul 5.10 petang, pihak hospital mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital," jelasnya.
Menurut Mohsin, laporan polis berhubung kematian itu dibuat pada pukul 5.25 petang.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang ditahan reman sejak dua tahun lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa ditempatkan di Pusat Koreksional Perlis sejak 17 Mac 2023 dan masih menunggu keputusan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kangar.
Tambah Mohsin, mangsa mempunyai rekod masalah psikiatri dan telah menerima rawatan di beberapa hospital sejak 2017.
"Tiada unsur jenayah ditemui yang boleh menjurus ke arah punca kematian," katanya.
Susulan itu, mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Untuk makluman, kes bunuh disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Manakala kes percubaan membunuh pula disiasat mengikut Seksyen 307 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.


