SEORANG lelaki tampil membuat pendedahan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang perunding latihan ketika dalam perjalanan menuju ke utara tanah air.
Menurut mangsa, kejadian berlaku ketika dia berada di dalam bas untuk pulang selepas menghadiri satu kursus di Kuala Lumpur.
Insiden itu dikongsikan semula oleh penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice di Instagram miliknya pada Isnin malam.
Mangsa mendakwa, ketika itu dia dalam keadaan keletihan sehingga tertidur di tempat duduknya yang terletak bersebelahan tingkap bas.
"Ketika bas berada di sekitar kawasan Ipoh (Highway PLUS), saya tersedar dan dapati paha dan kemaluan saya diraba.
"Saya nampak ada pergerakan tangan dan jari mengusap paha serta kemaluan saya," katanya dalam pendedahan yang dibuat kepada Caprice.
Rata-rata netizen mengecam tindakan pelaku selepas posting mengenai kejadian itu tular.
Namun, ada juga yang mempertikai kesahihan rakaman berkenaan kerana terdapat penggunaan lampu ‘flash’.
Mangsa kemudian menjelaskan penggunaan ‘flash’ tersebut bertujuan memastikan rakaman lebih jelas.
"Saya nak terus sergah takut dia sedar dan tak mengaku jadi saya tunggu masa sesuai untuk dapatkan bukti rekod dalam bas gelap sebab perjalanan malam.
"Saya nak buka flash (lampu suluh) untuk rakam takut dia tersedar pula. Jadi cara saya rakam adalah terpaksa mengangkat paha kaki kanan dan ambil video dari bawah untuk nampakkan padanya dari bawah.
"Video semasa raba kemaluan saya tak dapat ambil. Saya terpaksa ambil video cepat-cepat sebagai bukti. Boleh nampak dalam video jari bergelak di sebalik selimut," ujarnya.
Jelas mangsa, dia berusaha untuk merakam video sebagai bukti walaupun berdepan detik cemas dan berisiko disedari pelaku.
"Semasa dalam Terowong Menora, saya rakam video memandangkan masa tu cerah ada lampu dari dalam terowong.
"Kenapa saya tunggu dalam terowong sebab ada cahaya dari luar bas dan sebab tak nak kantoi rakam bukti. Pelaku tutup muka, badan dan tangan dengan kain.
"Jadi tak sedar saya rakam video. Video ni saya ambil menggunakan mode 0.5 sebab tu nampak lebar dan panjang," jelasnya lagi.
Malah, mangsa turut merakam saat dia menegur dan memukul kepala lelaki berkenaan ketika bas berhenti rehat di Hentian Taiping.
Difahamkan, mangsa sempat mengambil kad pengenalan pelaku sebelum lelaki itu menukar tempat duduk ke bahagian belakang bas selepas kejadian.
"Ketika bas berhenti untuk berehat sebentar, masa tu dia tarik tangan seolah-olah tak berlaku apa-apa. Saya sergah dia.
"Asbab kejadian ni saya trauma naik bas dan saya susah nak tidur malam bila teringatkan perkara ini. Jantung saya berdebar laju.
"Wallahi saya bercakap benar. Semoga video ini jadi kekuatan kepada mangsa-mangsa gangguan seksual tampil untuk pembelaan," katanya lagi.
Laporan polis mengenai kejadian ini telah pun dibuat.


