ADIK kepada Sajat Kamaruz Zaman iaitu Nur Mustika mendakwa anaknya menjadi mangsa buli guru di sekolahnya pada Mac lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Mustika memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menangis dengan teruk selepas pulang dari sekolah.
Murid tahun tiga itu kemudiannya menceritakan bagaimana dia dimarahi dengan teruk oleh beberapa guru di hadapan murid lain.
"Cikgu marah tu ok tapi dia marah sampai hina. Suka marah-marah, dah la cikgu perempuan," kata kanak-kanak itu.
Susulan itu difahamkan Mustika cuba mengatur pertemuan dengan guru terbabit, namun tidak dilayan.
Sebaliknya dia menerima sebuah video daripada guru berkenaan di WhatsApp yang kononnya mahu membuktikan mereka tidak bersalah dengan cuba mendapatkan pengakuan kanak-kanak terbabit pada 14 April lalu.
Dalam video berkenaan anaknya dilihat menangis teresak-esak dimarahi oleh beberapa orang guru di kantin sekolah.
"Cikgu buat ka tak buat? Tak buat, cakap kuat-kuat. Lepas ni jangan tuduh cikgu macam-macam.
"Awak tak nak sekolah, cakap dengan mak awak tapi jangan tuduh cikgu buat itu, buat ini dengan awak.
"Awak tuduh cikgu macam-macam nanti mak awak datang serang cikgu," kata guru-guru terbabit kepada anaknya dengan salah seorang menuding jari ke muka.
Mustika membalas mesej guru berkenaan dengan menyoal tindakan guru terbabit melarikan diri daripada bertemu dengannya.
"Ini bukan cara layan anak orang. Cikgu tak lindungi emosi anak saya. Cikgu malukan dia sampai takut nak pergi ke sekolah.
"Siap suruh satu kelas turun tengok dia dipaksa kata tipu. Kenapa tak bagi peluang dia jelaskan? Bincang cakap elok-elok?" soalnya.
Katanya, sehingga kini dia masih belum mendapat jawapan kenapa anaknya diperlakukan sedemikian.


