TINDAKAN pempengaruh dan usahawan, Prince Syed menginfak sepasang telekung bernilai RM12,000 melalui pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun meraih pujian ramai.
Dalam hantaran di TikTok, Prince Syed atau Syed Muhammad Shah Hasif berkongsi momen istimewa ketika dia bersama isteri, Fatin Syazwani Ishak menyerahkan sendiri telekung itu kepada pendakwah tersebut.
Menurut Prince Syed, telekung mewah yang bertatahkan batu kristal Swarovski itu disumbangkan kepada Perkampungan Al-Hijrah, iaitu pusat pengajian ilmu milik Ustazah Asma sendiri.
"Kami infak telekung berharga RM12,000 kepada ustazah Asma Harun untuk Perkampungan Al-Hijrah.
"Alhamdulillah telekung yang bertatahkan batu kristal Swarovski ini kami sudah serahkan kepada ustazah.
"Telekung ini pernah viral sehingga ke luar negara kerana kemewahan dan perinciannya... ia sangat unik dan bermakna," katanya.

Antara momen-momen selepas pemberian telekung mewah tersebut.
Dalam video tersebut, kelihatan Ustazah Asma tersenyum lebar selepas menerima telekung berona putih yang dihadiahkan pasangan ini.
Tindakan murni pasangan tersebut ternyata menarik perhatian netizen yang rata-ratanya memuji usaha Prince Syed dan isteri dalam menyokong dakwah serta pendidikan Islam.
Ruangan komen turut dihujani doa agar mereka dikurniakan rezeki yang berpanjangan dan kebahagiaan dunia akhirat.
"Semoga dimurahkan rezekinya selalu. Infak telekung, Allah sentiasa memudahkan urusan orang yang selalu bersedekah.
"Semoga bertambah rezeki dan bahagia dunia akhirat bersama tersayang," komen beberapa netizen.
Pada awal Mac tahun lalu, Syed menghasilkan telekung bertatahkan 5,000 kristal Swarovski tersebut untuk isteri tercinta sebagai hadiah.
Jelasnya, pakaian solat tersebut mengambil masa satu minggu untuk disiapkan.


