suria

Pemuda dibogelkan, ditinggal dalam semak tak sempat pinjam duit ah long

Sudah banyak kes jenayah membabitkan mangsa pinjaman ceti haram. -Gambar hiasan

SEORANG pemuda bukan sahaja dipukul malah pakaiannya dilucutkan sebelum dia ditinggalkan dalam keadaan bogel oleh sindiket ah long, dalam kejadian yang berlaku pada Selasa. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 24 tahun menghubungi ahli sindiket berkenaan melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat pinjaman wang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ah long bebas ugut, simbah cat rumah orang macam tiada undang-undang! Penghuni tak pernah pinjam wang pun jadi mangsa

"Bagaimanapun, mangsa dibawa masuk ke dalam kereta, dipukul, dilucutkan pakaian dan ditinggalkan dalam keadaan berbogel di kawasan semak di Bukit Khor di Marang.

"Barang peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit, dompet dan kad pengenalan turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Susulan itu, Pasukan Risikan Dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menahan lima lelaki berusia 16 hingga 39 tahun menerusi operasi khas Op Vulture.

Mohd Khairi berkata, kesemua suspek mengaku menjalankan aktiviti pinjaman wang haram di sekitar Kuala Terengganu sejak Mac lalu.

"Antara barangan yang dirampas dalam operasi adalah dua kereta Proton Saga, lima telefon bimbit serta pakaian milik mangsa yang ditemui semula hasil maklumat daripada suspek.

"Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan kes berkaitan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Artikel Lain