AKIBAT pitam, seorang lelaki yang memandu lori muatan balak merempuh dua kenderaan, sebuah gerai makan serta pagar sekolah di Jalan Pasir Akar-Kampung Oh di Hulu Besut, Terengganu pada Rabu.
Kejadian berlaku ketika lori berkenaan dipandu dari arah Keruak, Pasir Akar menuju Kuala Terengganu sekitar pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata ketika lori melalui jalan berselekoh ia tiba-tiba terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terlanggar kereta Proton Waja serta Perodua Alza yang sedang diparkir.
“Lori itu turut merempuh sebuah gerai makan dan pagar Sekolah Kebangsaan Pasir Akar.
"Punca kejadian dipercayai berlaku kerana pemandu lori itu pitam disebabkan mengalami tekanan darah tinggi ketika memandu yang menyebabkan dia hilang kawalan.
“Pemandu lori berusia 48 tahun dibawa ke Hospital Besut oleh ambulans untuk rawatan,” katanya.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.
Dalam pada itu, Azamuddin memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Jalani Mokhtar di talian 019-9899469.