SEORANG lagi jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci pada Selasa, akibat serangan jantung.
Pemergian jemaah, Allahyarham Aripin @ Ariffin Jawah @ Ab Halim itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan jemaah haji Malaysia dari KT058, Maktab 90A yang berasal dari Tawau, Sabah.
"Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Rehab Al-Janadiriyyah, Makkah akibat serangan jantung
"Saya merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.30 pagi (waktu Makkah), 20 Mei 2025.
"Allahyarham ditemani isterinya Norasiah Imam dari Isnin sepanjang perjalanan haji ini," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: “Ada TV, langsung tak tengok” - Adik dedah peribadi, amalan arwah kakak… Doa makbul, kekal bersemadi di Tanah Suci
Beliau berkata, Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham dan urusan berkaitan lain akan disempurnakan sebaiknya.
Pemergian Allahyarham menjadikan kes kematian ketiga melibatkan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.
Terdahulu, seorang jemaah wanita, Norizah Tambonan, 47 dari Batu Pahat, Johor dan jemaah lelaki, Abdullah Mat, 59 dari Pasir Mas, Kelantan turut disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.