suria

Gadis maut selepas naik Genting Highlands buat kejutan untuk ibu, ‘superbike’ ditunggang BF hilang kawalan

Keadaan motosikal dibonceng mangsa selepas terlibat kemalangan di Lebuhraya PLUS sekitar Kulai, Johor.

SEORANG gadis berusia 21 tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas pulang dari percutian di Genting Highlands pada Selasa.

Bagaimanapun, memetik laporan portal bahasa Mandarin, Shin Min Daily News, ada kisah tragis di sebalik pemergian mangsa yang dikenali sebagai Alssa Lyn Tay.

Tay dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke Singapura dengan menaiki motosikal bersama teman lelakinya yang berusia 23 tahun yang sudah dikenalinya selama tiga bulan.

Namun difahamkan, motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-10 yang ditunggang oleh teman lelakinya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di kilometer 49.5, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Upacara pengebumian mangsa. -Foto Shin Min Daily News

Gadis itu maut di tempat kejadian.

Dalam pada itu, bapa tiri mangsa dikenali sebagai Xu berkongsi momen terakhirnya bersama Tay, iaitu ketika di Genting Highlands pada malam Isnin.

Tay dikatakan mahu membuat kejutan terhadap ibu kandungnya selepas memperoleh pasport baharu.

"Saya dah pujuk Tay supaya tidak datang ke Genting Highlands dengan menunggang motosikal, tapi dia tetap berkeras untuk berjumpa dengan ibunya

ARTIKEL BERKAITAN: Rider baring di pusara dedah kisah tragis, ibu kemalangan lepas beli barang niaga nasi lemak - “Ada hari saya datang lima, enam kali”

"Saya dan isteri sudah sampai di Genting Highlands lebih awal dengan menaiki kereta," ujar Xu.

Tay tiba di Genting Highlands bersama kekasihnya pada pukul 1 pagi Selasa dan mereka menghabiskan masa selama empat jam bersama keluarga Tay, sebelum memutuskan untuk pulang ke Singapura pada pukul 5 pagi.

"Mereka bergegas untuk pulang kerana teman lelaki Tay mempunyai mesyuarat yang perlu dihadiri. Saya minta Tay untuk pulang ke Singapura dengan menaiki kereta bersama kami sekeluarga.

"Tapi Tay berkeras dan mahu balik bersama pasangannya. Rupanya itu kali terakhir saya dan isteri berjumpa dengan Tay," jelas Xu.

Nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh diubah.

XU

Upacara pengebumian Tay diadakan pada keesokan harinya iaitu Rabu.

"Tay merupakan seorang gadis yang ceria dan mempunyai hubungan baik dengan orang sekelilingnya. Ramai kawan Tay datang melawat selepas menerima khabar duka ini," kata Xu.

Sementara itu, teman lelaki Tay dilaporkan terselamat dalam nahas ngeri terbabit, namun mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Dia hadir upacara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang dengan berkerusi roda dan memakain pakaian hospital berwarna biru tetapi menolak sebarang temu bual bersama pemberita.

"Kekasih Tay ada memohon maaf kepada kami sekeluarga. Nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh diubah," ujar Xu mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain