SEORANG pemandu kereta maut selepas kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang Transit Aliran Massa (MRT) di Petaling Jaya, Selangor. Insiden yang berlaku pada pagi Khamis, menyebabkan kereta yang dipandu terbakar dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.20 pagi di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur. "Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas, melanggar tiang MRT dan menyebabkan kenderaan terbakar. "Mangsa yang merupakan pemandu kereta terbakar seluruh badan dan disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, pada Khamis. Beliau berkata, mangsa dibawa ke Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sehingga kini, mayat mangsa tidak dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Kepada sesiapa yang mempunyai rakaman papan pemuka (dashboard) semasa kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222, Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube